ANGGOTA polis mengangkat jenazah Mohamad Zulkifli .
ANGGOTA polis mengangkat jenazah Mohamad Zulkifli .
Rosli Ilham


Dungun: “Saya nampak dia melambung tinggi sebaik melanggar seekor daripada kerbau yang tiba-tiba keluar dari semak,” kata Khairul Anwar Hassan, 26, menceritakan kemalangan maut meragut nyawa rakannya di Kilometer 17.5, Jalan Tok Kah-Jerangau, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, Mohamad Zulkifli Ayub, 27, tinggal di Kampung Padang Jambu, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa menunggang bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memancing di Kampung Jerangau.

Tiba di tempat kejadian, mangsa rempuh sekumpulan kerbau tiba-tiba keluar semak.

Khairul berkata, arwah menunggang motosikal bersendirian di depannya manakala dia dan seorang lagi rakan, Mohd Shazuan Zailani, 27, menaiki motosikal dan mengekori mangsa.

“Kami bertiga dalam perjalanan pulang memancing ikan tidak jauh dari tempat kejadian dan saya sendiri nyaris melanggar kerbau itu, tetapi sempat membrek.

“Arwah tercampak dan ketika itu dia masih hidup dan tidak berkata apa-apa. Saya sempat membaca surah Yasin beberapa kali sebelum dia meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:56 AM