KERBAU yang dilanggar mangsa. (Gambar kecil) MUHAMMAD Syawal. FOTO Ihsan Pembaca dan keluarga
KERBAU yang dilanggar mangsa. (Gambar kecil) MUHAMMAD Syawal. FOTO Ihsan Pembaca dan keluarga
Helmy Abd Rahman


PEMUDA maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Syawal Jusoh, 24, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di bahagian badan.

Difahamkan, insiden kira-kira 8 malam itu berlaku ketika mangsa melalui jalan di kawasan berhampiran pejabat tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kampung berkenaan.

Mangsa yang menunggang Yamaha 125Z secara bersendirian ketika kejadian, dikatakan keluar semula dari rumahnya selepas pulang bermain bola sepak.

Rakan mangsa, Mohd Azri Abdullah, 25, berkata, Allahyarham Muhammad Syawal ditemui seorang pemancing yang berada di kawasan berkenaan selepas terdengar bunyi hentaman kuat.

“Mungkin Allahyarham ke kawasan itu untuk melihat orang memancing dan ketika ditemui dia sudah tak bernyawa manakala kerbau yang dilanggar pula hampir mati.

“Saya dapat tahu pun selepas ada rakan lain WhatsApp dan terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Ibu mangsa, Zaharah Abdullah, 60, berkata sebelum kejadian, Allahyarham Muhammad Syawal yang juga anak kesembilan daripada 11 beradik sempat pulang ke rumah selepas bermain bola sepak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor.

“Bagaimanapun dia keluar semula tidak lama kemudian... tak sangka itulah kali terakhir saya melihatnya.

“Kejadian ini amat mengejutkan, lebih-lebih lagi dia langsung tidak menunjukkan tanda akan pergi selamanya,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Syawal belum bekerja selepas menamatkan pengajiannya di Akademi Binaan Malaysia (ABM), Jenagor dalam bidang pemasangan platform bagi projek binaan bangunan.

“Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:34 AM