KEADAAN kereta yang melanggar mangsa.
KEADAAN kereta yang melanggar mangsa.

Dungun: “Saya nampak seperti lembaga terbang dan jatuh ke kanan laluan lebuh raya. Rupa-rupanya lembaga itu rakan saya,” kata Muhammad Alif Mazlan, 16, menceritakan detik sebuah kereta merempuh motosikal rakannya di Kilometer 368, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, mangsa, Muhammad Hakimi Aris, 16, dari Kampung Dendang, maut di tempat kejadian.

Allahyarham yang juga pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau, dekat sini, meninggal dunia akibat parah di kepala dan patah kaki kiri.

Muhammad Alif berkata, sebaik menyedari situasi sebenar, dia memberhentikan motosikal dan mengheret rakan baiknya itu ke tepi jalan bagi mengelak mangsa dilanggar kenderaan lain.

Katanya, arwah rakannya meminta dia menemaninya menghantar motosikal ke rumah datuknya di Kampung Jerangau Sungai dekat sini.

“Kami pergi dengan dua motosikal, arwah menunggang di depan manakala saya mengekorinya dalam jarak kira-kira 80 meter.

“Suasana lebuh raya gelap dan saya mulanya langsung tak tahu arwah dirempuh kereta dan menyangka dia terbabas sendirian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, sebaik mengheret rakannya ke tepi lebuh raya, arwah masih hidup.

“Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadat sebelum arwah menarik sekali nafas yang panjang dan meninggal dunia.

“Saya lihat sebuah kereta berwarna putih berhenti dalam jarak 150 meter di depan dan melihat kereta itu remuk di sebelah kiri, tahulah saya kereta itu melanggar arwah.

“Pemandu kereta itu menggigil ketakutan ditenangkan isterinya yang turut ketakutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 8:49 AM