A LATIFF (kanan) melihat runtuhan yang berlaku di dalam kelas ketika membuat lawatan ke SK Jerangau, hari ini. FOTO Baharom Bakar.
A LATIFF (kanan) melihat runtuhan yang berlaku di dalam kelas ketika membuat lawatan ke SK Jerangau, hari ini. FOTO Baharom Bakar.
Baharom Bakar


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri akan membuka kertas siasatan berhubung runtuhan struktur simen di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangau, Dungun, Selasa lalu.

Timbalan Pengarah SPRM negeri Zainal Ayub berkata, siasatan awal termasuk mendapatkan dokumen, nama kontraktor serta senarai pegawai terbabit mengawasi projek pembinaan sekolah itu akan dilakukan dengan segera.

Katanya, SPRM negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk mendapatkan semua dokumen berkaitan projek pembinaan bangunan sekolah berkenaan.

“Pegawai dan anggota SPRM sudah dihantar ke sekolah berkenaan untuk mengenal pasti dan merakam percakapan beberapa saksi termasuk guru yang berada di lokasi kejadian ketika runtuhan itu berlaku.

"SPRM tidak berhadapan dengan masalah untuk melakukan siasatan walaupun sekolah itu dibina pada 2008 dan mula digunakan sejak 2010," katanya.

Zainal berkata demikian ketika mengulas mengenai kes runtuhan struktur simen yang dibina bertujuan menampung tangki air di tingkat tiga SK Jerangau.

Bagaimanapun, tiada kecederaan berlaku ke atas guru dan 16 murid tahun empat yang ditempatkan di bilik darjah berkenaan.

Dalam kejadian 4.30 petang Selasa lalu, struktur diperbuat daripada simen itu runtuh dan menghempap meja serta kerusi dalam bilik darjah di tingkat tiga sekolah berkenaan.

Zainal berkata, siasatan secara terperinci akan dilakukan dan jika terdapat sebarang unsur rasuah, mereka yang terbabit dengan projek itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau berkata, selain SK Jerangau, SPRM negeri akan menyiasat tujuh lagi sekolah di daerah Dungun yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan menggunakan reka bentuk sama.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang berkata, pihaknya meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan hasil siasatan punca runtuhan struktur simen seberat kira-kira 750 kilogram dalam bilik darjah itu.

Beliau yang melawat sekolah berkenaan, hari ini berkata, JKR diarahkan menyiasat semua bangunan sekolah dibina pada Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9) menggunakan reka bentuk sama.

Katanya, kerajaan negeri kecewa apabila struktur simen yang dibina sebagai alas tangki air di tingkat tiga bangunan tiga tingkat itu runtuh secara tiba-tiba.

“Kerajaan negeri terkilan terutama apabila melihat struktur simen itu dibuat tidak mengikut piawaian ditetapkan.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai forensik JKR, runtuhan struktur simen itu berlaku disebabkan kecuaian kontraktor apabila hanya menggunakan besi sepanjang tiga inci untuk dilekat dan disambung kepada struktur asal," katanya.

Berita berkaitan

Nasib baik kelas dah habis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 5:12 PM