MUHYIDDIN mendengar penjelasan  misi pencarian MH370, semalam.
MUHYIDDIN mendengar penjelasan misi pencarian MH370, semalam.

Perth: Malaysia dan Australia menyuarakan komitmen meneruskan pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370 ketika usaha mencari di selatan Lautan Hindi dalam keadaan yang amat mencabar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia menghargai aset dan kepakaran yang ditempatkan Australia untuk mengesan pesawat Boeing 777 yang penumpangnya turut terdiri daripada warga Australia.

“Kami berharap akan ada isyarat menunjukkan arah pesawat ditemui,” katanya pada sidang akhbar sebelum menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Canberra dan Perth, semalam.

Dalam perbincangannya dengan rakan sejawatan dari Australia, Warren Truss di Canberra, Muhyiddin berkata, beliau menyatakan kerajaan tidak menyerah kalah dalam usaha mencari pesawat berkenaan.

“Kami tahu penting bagi keluarga mereka yang berada di dalam pesawat menyaksikan ia berhasil dalam tempoh suatu masa lagi,” katanya.

“Komitmen daripada pihak Australia pula adalah mereka terus bersama kita sehinggalah operasi pencarian berakhir,” katanya.

Beliau melawat pejabat Fugro Survey Pty Ltd di pinggir Perth dan diberi taklimat berhubung fasa baru usaha mencari di dasar laut.

Taklimat itu dikendalikan pegawai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

“Operasi baru di dasar laut itu, yang bermula awal Oktober, melibatkan dua kapal pencarian Fugro Survey, dibiayai bersama Kuala Lumpur dan Canberra, dengan kos A$120 juta (kira-kira RM343 juta),” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:12 AM