BEBERAPA struktur bangunan di resort milik Jamal dirobohkan MDSB.
BEBERAPA struktur bangunan di resort milik Jamal dirobohkan MDSB.
Mohd Shukor Amin


Sabak Bernam: Sekin Fishermen Village Hotel & Resort milik Datuk Seri Jamal Md Yunos disita selama 14 hari mulai semalam manakala beberapa struktur binaan tambahan dirobohkan dalam operasi Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) serta Pejabat Daerah Sabak Bernam di sini, semalam.

Resort yang mempunyai 100 unit bilik itu disita kira-kira jam 10 pagi manakala beberapa struktur bangunan resort itu diruntuhkan kira-kira jam 2 petang hari sama.

Satu notis perintah tutup turut ditampal pada pintu cermin resort berkenaan dengan tali dipasang merintangi pintu berkenaan.

MDSB dalam notis itu menyatakan resort berkenaan disita dan diarahkan tutup kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen sah mengikut UUK 38 Undang-undang Kecil Hotel (MDSB) 2013.

Notis berkenaan menyatakan pemilik premis dikehendaki mengemukakan permohonan lesen dengan mematuhi syarat permohonan lesen dan akan diperiksa semula pada 4 Januari ini.

Yang Dipertua MDSB Azlinda Azman berkata, tindakan sitaan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan resort itu menjalankan aktiviti tanpa lesen.

Beliau berkata, sebelum ini, MDSB sudah beberapa kali mengeluarkan notis tetapi tidak dipatuhi pemiliknya.

“Kita sudah mengeluarkan arahan supaya pemilik resort mengambil tindakan sewajarnya bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) secara sah.

“Kita tidak mempunyai apa-apa masalah kepada mereka yang ingin menjalankan perniagaan di daerah ini malah sangat digalakkan tetapi hendaklah mengikut undang-undang dan prosedur ditetapkan,” katanya ditemui di sini semalam.

Azlinda berkata, MDSB sebenarnya sudah banyak membantu premis itu sejak resort milik Jamal beroperasi pada 2011.

“Kita bantu banyak premis ini, daripada tak tukar syarat kita bantu kepada bagaimana tukar syarat... daripada kawasan pertanian kepada bangunan perniagaan dan bagaimana seterusnya tetapi ada syarat yang ditetapkan, namun sehingga kini tidak dipatuhi,” katanya.

Mengenai dakwaan campur tangan kerajaan negeri yang mengarahkan MDSB mengambil tindakan penyitaan resort terbabit, Azlinda menafikannya memandangkan sudah beberapa kali tindakan kompaun diambil terhadap premis itu.

“Secara asasnya, walaupun sudah dinasihatkan tidak beroperasi atas faktor keselamatan resort ini tetap beroperasi secara tidak sah.

“Seandainya berlaku sesuatu, kita tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak mendapatkan pengesahan daripada arkitek yang berdaftar dan bertauliah,” katanya.

Menurutnya, MDSB turut mengeluarkan kompaun RM250,000 pada 8 Disember lalu terhadap premis terbabit.

“Mereka sepatutnya menjelaskan kompaun itu dalam tempoh dua minggu...kita lihat, salah satu cara untuk kita memastikan keadaan ini tidak berlanjutan adalah dengan penutupan premis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 8:39 AM