Resort Sekin Fishermen Village Hotel & Resort yang disita.
Resort Sekin Fishermen Village Hotel & Resort yang disita.
STRUKTUR binaan yang dirobohkan. FOTO ihsan pembaca
STRUKTUR binaan yang dirobohkan. FOTO ihsan pembaca
Mohd Shukor Amin


Sabak Bernam: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyita dan meruntuhkan beberapa struktur resort Sekin Fishermen Village Hotel & Resort milik Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam operasi, hari ini.

Resort berkenaan disita selama 14 hari mulai hari ini dan notis perintah tutup dikeluarkan kira-kira 10 pagi tadi.

Sementara itu, beberapa struktur bangunan tambahan resort itu turut diruntuhkan, kira-kira 2 petang tadi.

MDSB dalam notis perintah tutup bertarikh hari ini menyatakan resort berkenaan disita dan diarahkan tutup kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen sah mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel (MDSB) 2013.

Notis berkenaan menyatakan pemilik premis dikehendaki mengemukakan permohonan lesen dengan mematuhi syarat permohonan lesen dan akan diperiksa semula pada 4 Januari ini.

Sepanjang penutupan itu resort berkenaan dilarang menjalankan perniagaan atau beroperasi sebelum mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa, memastikan notis atau pita sitaan tidak ditanggal, dibuang atau dirosakkan serta pemiliknya perlu mengemukakan permohonan dengan mematuhi syarat permohonan lesen.

Sementara itu, Jamal ketika dihubungi berkata, resort yang mempunyai 100 bilik itu disita MDSB kira-kira 10 pagi tadi.

Beliau berkata, tindakan sitaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa membatalkan segala tempahan pelanggan yang ingin menginap di resort itu yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.

"Saya terpaksa ikut arahan kerana mereka ada kuasa dan terpaksa memberitahu kepada petugas supaya pulangkan semula duit tempahan resort kepada pelanggan," katanya yang memiliki kira-kira 30 pekerja di resort itu.

Jamal mendakwa, tindakan sitaan itu dibuat adalah disebabkan kemarahan kerajaan negeri terhadap tindak-tanduknya sebelum ini yang banyak mengkritik kelemahan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, kerajaan negeri turut tidak berpuas hati dengan tindakannya yang memprotes berkaitan isu gangguan bekalan air di negeri itu.

"Sepatutnya mesej yang saya sampaikan (semalam) itu memberikan peringatan kepada kerajaan negeri supaya menangani masalah ini dengan segera dan mencari jalan penyelesaian, bukannya bermain politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 4:50 PM