Nabihah Kamal

Shah Alam: Motosikal berkuasa tinggi lama, tetapi cara mereka menguji kemampuan motosikal berkenaan memang terbaik apabila berkonvoi balik hari, antaranya dari Selangor ke Rantau Panjang, Kelantan.

Terbukti motosikal berkuasa tinggi lama daripada jenis Suzuki GSXR 1100, Kawasaki GPZ 1100, Honda VTR 1000, Suzuki GS650G Katana, Kawasaki ZZR 1100, Honda Africa Twin, Yamaha FZR1000, Yamaha TDM 850, Suzuki GSX1100S Katana, Suzuki GSX750S dan Kawasaki ZX-10 Tomcat tidak menghampakan, malah semestinya membanggakan pemiliknya yang terdiri daripada ahli ‘Old Superbike Owners’.

Pada masa sama, ia juga mengimbas kenangan lama seperti dalam filem Pelumba Malam dan Azura.

Menurut ketua kelab itu, Ngadnan Weji, 43, yang memiliki motosikal Kawasaki GPZ 1100, dia bersama ahli kelab pernah menunggang motosikal berkenaan yang ‘lahir’ dari 1980-an mengelilingi semenanjung selama 57 jam.

“Masalah enjin adalah kekangan utama menunggang motosikal ini kerana usianya sudah lama. Namun jika kita sentiasa periksa dan servis, ia tidak ada masalah.

“Antara aktiviti saya dan 30 ahli kelab ini adalah berkonvoi termasuk konvoi balik hari dari Selangor ke Rantau Panjang, Kelantan dan konvoi ke seluruh Semenanjung sebagai aktiviti tahunan kami,” katanya yang juga bapa saudara kepada pelumba motosikal negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

Menurutnya, ada individu yang berminat membeli motosikalnya yang mula berada di pasaran sejak 1983 itu.

“Motosikal ini sudah tidak dijual lagi dan sayang nak jual kerana banyak kenangan yang ada padanya.

“Motosikal ini pernah bawa saya dan isteri berbulan madu di Pulau Langkawi,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

Ngadnan yang memiliki bengkel motosikal berkata, dia bersama ahli kelab itu sekali lagi merancang mengadakan konvoi ke seluruh Semenanjung pada awal tahun depan.

“Konvoi itu sejauh 2,500 kilometer akan dihabiskan dalam masa 60 jam. Itu sasaran kami,” katanya yang turut memaklumkan motosikal berkuasa tinggi lama boleh dimiliki dengan harga antara RM10,000 hingga RM40,000 dengan jenis Suzuki Katana yang paling mahal.

Ahli kelab yang juga Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Faizul Md Idros, 39 berkata, dia mula ‘jatuh cinta’ dengan motosikal berkuasa tinggi lama sejak zaman belajar lagi.

“Pada 2001, saya membeli motosikal jenis Suzuki GSXR 1100 dan sehingga kini saya jaga motosikal ini dengan baik kerana alat gantinya sukar didapati di Malaysia.

“Memiliki motosikal lama ini menggamit nostalgia,” katanya yang turut memiliki motosikal Yamaha TDM 850.

Sementara itu, wanita berusia 39 tahun, Norliza Ramli yang menunggang Suzuki GS650G turut menjadi ahli kelab ini kerana meminati aktiviti sukan permotoran.

“Bukan saja lelaki boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi, perempuan pun boleh. Motosikal jenis Suzuki GS650G ini peninggalan arwah bapa mentua saya.

“Dia minta saya bawa motosikal ini. Sejak lima tahun lalu, saya belajar cara nak tunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Jatuh dari motosikal itu adalah perkara biasa dan bukan halangan bagi saya untuk teruskan minat ini,” kata ibu kepada dua anak ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 10:18 AM
SEBAHAGIAN peminat motosikal berkuasa tinggi lama berkumpul di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
SEBAHAGIAN peminat motosikal berkuasa tinggi lama berkumpul di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
SEBAHAGIAN peminat motosikal berkuasa tinggi lama berkumpul di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
SEBAHAGIAN peminat motosikal berkuasa tinggi lama berkumpul di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
SEBAHAGIAN peminat motosikal berkuasa tinggi lama berkumpul di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.
SEBAHAGIAN peminat motosikal berkuasa tinggi lama berkumpul di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.