Lizam Ridzuan


BAGAI aur dengan tebing, itu yang boleh digambarkan buat dua pasangan suami isteri ini yang memiliki minat mendalam dalam dunia motosikal berkuasa tinggi.

Kebiasaannya, hanya lelaki atau suami yang aktif dengan rakan untuk aktiviti bermotosikal, namun pasangan ini tampil berbeza.

Untuk si isteri, bukan sekadar menjadi pembonceng malah turut memiliki motosikal sendiri.

Suami juga lebih mudah mengatur langkah apabila pasangan turut menunggang sama.

Vroom bertemu pasangan Nik Azli Abu Zahar, 51, dan Sura Rahman, 56, serta Mohd Azhari Mohd, 45, Said dan Norliza Ramli, 44.Masing-masing berkongsi kisah kehidupan dua roda mereka.

Impian menunggang di Scotland

Sibuk dengan karier, namun ia tidak menghalang Nik Azli dan Sura untuk memulakan aktiviti menunggang motosikal bersama sejak 2013.

Memilih Harley-Davidson, pada awalnya, hanya Nik Azli yang memiliki motosikal dan Sura pula hanya membonceng.

Bagaimanapun, melihat ada dalam kalangan kumpulannya terdiri daripada penunggang wanita, Nik Azli kemudian menghadiahkan Sura sebuah motosikal.

"Kami sering menyertai konvoi Harley Owner Grup (HOG). Selain konvoi diurus, tunggangan pula dijalankan dengan berhemah dan kerana itu, saya membenarkan isteri menunggang motosikalnya sendiri," katanya yang bertugas sebagai Penasihat Undang-undang Kumpulan, Perundangan & Pematuhan Kumpulan Sapura Energy.

ASPEK keselamatan diutamakan.
ASPEK keselamatan diutamakan.

Selain berkonvoi bersama di dalam negara, perjalanan mereka turut melangkaui sempadan negara bagi mencipta pengalaman tersendiri.

Perjalanan dan pengembaraan ke Itali pada 2019 antara kenangan yang tidak dapat dilupakan pasangan ini.

Selain menunggang dalam cuaca sejuk, keadaan jalan yang sempit selain ada laluan ditutup dan bertukar arah turut memberi cabaran tersendiri buat mereka.

"Apa yang kami lihat, di Eropah, setiap penunggang motosikal akan menyapa sesiapa saja yang menunggang tanpa mengira jenis motosikal.

"Budaya itu cukup menarik malah baik untuk diamalkan di Malaysia," kata Sura yang juga suri rumah.

NIK Azli dan Sura gemar menunggang ke luar negara.
NIK Azli dan Sura gemar menunggang ke luar negara.

Apabila ditanya apakah yang membuatkan mereka terus aktif dengan dunia motosikal, jawapan diberi ialah kepuasan menikmati pemandangan dalam suasana santai selain bebas tekanan.

Selain itu, kata Sura, persefahaman amat penting ketika menunggang bersama kerana selain faktor kesabaran, tolak ansur juga antara yang perlu dilakukan.

"Saya gemar berhenti di lokasi menarik sepanjang perjalanan dan suami memahami perkara itu," kata Sura.

SALING memahami.
SALING memahami.

Mereka juga merancang untuk menjelajah ke Scotland dan kawasan lain di United Kingdom.

Uniknya, motosikal milik Sura memiliki gelaran dan ciri tersendiri iaitu 'Baby O' (Harley-Davidson Sportster) dan 'The Duke' (Ducati Scrambler) dengan 'trademark' Teddy Bear pada kedua-duanya.

Nik Azli dan Sura memiliki empat motosikal iaitu Harley-Davidson Softail CVO Convertable, Sportster 883 Superlow (Makeover Sportster Club Style), Ducati Scrambler 1100 Sport dan BMW R1250 RT. Jentera ini berharga RM55,000 hingga RM100,000.

Pasangan motosikal retro

Mohd Azhari Mohd Said dan Norliza Ramli dari Shah Alam, Selangor pula gemar menunggang motosikal retro dan kedua-duanya memiliki Suzuki Katana.

KENANGAN di Itali.
KENANGAN di Itali.

Motosikal ini menjadi pilihan kerana ia adalah warisan keluarga Mohd Azhari yang meminati motosikal klasik.

Menurut Azhari, bapanya menghadiahkan Suzuki Katana itu kepadanya untuk dijaga sebelum membeli sebuah lagi model sama sebagai koleksi.

Pada peringkat awal, isteri hanya membonceng, namun mula menaruh minat selepas kerap menyertai konvoi.

"Saya sering menyertai aktiviti tunggangan dalam kumpulan dan semangat setiakawan sesama penunggang adalah sangat tinggi.

"Melihat situasi ini, isteri mula menunjukkan minat untuk menunggang sendiri dan merasai pengalaman itu," katanya yang bekerja sendiri.

Sejak 2013, Norliza mula menunggang sendiri dan Suzuki Katana milik suami menjadi pilihan.

‘THE Duke’ milik Sura dengan hiasan ’Teddy Bear’.
‘THE Duke’ milik Sura dengan hiasan ’Teddy Bear’.

Biarpun pada peringkat awal Norliza harus menyesuaikan diri dengan saiz dan berat motosikal, namun ia bukan penghalang untuknya meneruskan minat itu.

"Motosikal sudah tersedia, maka saya guna sahaja Katana itu, lagipun jika ingin membeli yang baharu, harganya agak tinggi, tambah lagi jentera vintaj 1984 ini seronok untuk ditunggang selain tampil unik," katanya yang mula menunggang motosikal pada 1995.

Menurut Azhari, anak mereka sudah dewasa dan mudah untuk mereka melakukan aktiviti sendiri.

Berkaitan alat ganti, katanya, ia membabitkan kos agak tinggi kerana motosikal kategori vintaj perlukan alat ganti yang dibeli sama ada di pasaran tempatan atau Jepun.

Urusan penyelenggaraan pula perlu dirancang lebih awal bagi memudahkan proses mendapatkan alat ganti diperlukan.

Antara tip untuk suami isteri yang berminat melakukan aktiviti ini ialah persefahaman, saling mempercayai serta kesabaran yang tinggi.

Perancangan mereka ialah untuk ke '1000 Corners' di Thailand. Kedua-duanya juga pernah mengembara sehingga ke Kemboja pada 2015 dengan menunggang Kawasaki ZX-10 dan Yamaha Virago 1100.

Azhari dan Norliza memiliki Suzuki Katana GSX750S 1986 serta Suzuki GS650 Katana 1984.

Selain itu mereka juga memilik koleksi jentera Norton Model 7 Dominator dan Triumph TRW 500cc.

Jentera klasik itu kini bernilai di antara RM20,000 sehingga RM60,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 6:25 AM