MODEL retro Suzuki Katana GSX1100S masih kekal asli.
MODEL retro Suzuki Katana GSX1100S masih kekal asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Jika berkunjung ke karnival permotoran sekitar Semenanjung, pengunjung tidak perlu berasa pelik jika ada gerai mempamerkan beberapa model Suzuki Katana di hadapan premis mereka.

Ini kerana, selain menjadi tarikan pelanggan, model ‘masterpiece’ itu adalah bukti serius pemilik premis Retro Station dari Melaka peminat barangan retro khususnya produk dan barangan motosikal.

ENJIN 1,100cc dijaga rapi.
ENJIN 1,100cc dijaga rapi.

Ketika ditemui sempena International Bike Week (PIBW) di Perak pada 4 November lalu, penulis tertarik melihat lebih dekat satu daripada tiga Suzuki Katana yang dipamerkan.

Pemiliknya yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Arie Retro’ berusia 50-an dengan gaya seperti penyanyi rock, mengakui pengumpul dan peminat tegar motosikal model Suzuki Katana sejak 10 tahun lalu.

Malah, dia turut memiliki tujuh koleksi motosikal model berkenaan.

Sebuah yang dipamer amat menarik perhatian kerana hampir 100 peratus mengekalkan komponen asal.

Ini termasuk salutan cat yang melekap pada jentera masih berkeadaan asal, namun sedikit dimamah usia.

Arie Retro berkata, ada rakan menganggap dia gila kerana masih menyimpan motosikal itu dan tidak menjualnya berikutan harganya kini mampu mencecah RM60,000 sebuah.

“Apa yang saya cari adalah kepuasan kerana Katana adalah model motosikal paling diminati selain cara saya menghargainya.

“Biarpun bernilai tinggi, namun wang ringgit bukan segala-galanya. Sepanjang 10 tahun mengumpul koleksi model ini, saya merasai satu kepuasan dalam diri selepas memilikinya,” katanya.

Katana GSX1100S berwarna perak buatan 1982 ini ternyata memukau pengunjung kerana memiliki rekaan melangkaui zamannya.

Kewujudan Katana bermula apabila Suzuki gagal mencipta model yang lebih moden pada era 70-an selepas GSX1100E sehingga dikritik banyak pihak.

Berikutan kegagalan itu, pengasasnya, Michio Suzuki mula mengkaji dan menggabungkan kepakaran pereka ternama BMW Mottorad iaitu Hans Muth, Jan Fellstrom dan Hans-Georg Karsten.

Akhirnya, muncul motosikal pertama menggabungkan ciri estetik,ergonomik dan aerodinamik yang menggegarkan dunia permotoran sebaik dilancarkan pada 1981.

Nama Katana bukan sahaja melekat pada dua model awal Suzuki iaitu GS550 (ED1) dan GSX1100S (ED2), malah terus kekal sehingga beberapa generasi sehingga 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 12:51 AM