Lizam Ridzuan


POSISI menunggang dengan pemegang lebar.
POSISI menunggang dengan pemegang lebar.

'KATANA' asalnya adalah nama pedang Jepun dengan bilah melengkung dan pemegang panjang. Ia digunakan oleh samurai ketika zaman feudal.

Nama Katana juga digunakan untuk motosikal Suzuki yang diperkenalkan pada 1981. Ia cukup mencuri tumpuan ramai kerana rekaannya yang futuristik.

Suzuki Katana adalah jentera sport yang dihasilkan oleh pereka dari Jerman, Hans Muth dan dua rakannya yang dikeluarkan sehingga 2006.

Selepas 15 tahun, ia kembali pada 2020 dengan DNA yang sama, namun ditambah dengan sentuhan moden.

Ia diedarkan untuk pasaran tempatan di bawah syarikat baharu, Suzuki Malaysia Sdn Bhd (SMSB).

Vroom berpeluang menunggang uji model Suzuki Katana GSX-S1000S 2021 baru-baru ini.

Bahagian hadapannya masih mengekalkan rekaan signatur model Katana malah ramai yang mudah mengenali hanya berpandukan dengan bentuk 'fairing'.

Ia dilengkapi lampu hadapan dua bahagian, lampu kedudukan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED menjadikan pencahayaan lebih baik pada sebarang cuaca.

Ia didatangkan dengan rim enam jejari bersaiz 17 inci. Saiz tayar hadapan ialah 120/70 manakala belakang pula ialah 190/50.

Fork teleskopik terbalik (boleh laras) 43 milimeter (mm) 'oil damped' KYB dan brek cakera 'terapung' berkembar hadapan dengan angkup Brembo Monobloc empat injap menyerlahkan lagi model ini.

Tangki bahan api sekitar 12 liter dengan palang pemegang yang agak lebar menjadikan posisi menunggang santai.

Ia juga didatangkan dengan panel meter LCD digital sepenuhnya dengan pelbagai maklumat berkaitan boleh dilaras dengan mudah.

Cuma susun aturnya pada pandangan penulis tidak tertumpu dan jika ia diberi sentuhan TFT, ia pasti lebih menarik.

Pelana tempat duduk pada ketinggian 825 milimeter (mm) masih lagi membolehkan kaki menyentuh jalan raya (ketinggian penulis sekitar 176 sentimeter).

Pelana pembonceng agak kecil terutama dengan rekaan bahagian ekor motosikal yang pendek dengan lampu LED pada bahagian bawahnya.

Ia juga dilengkapi penghadang lumpur, panel nombor pendaftaran dan lampu membelok pada belakang tayar yang terpisah daripada lampu brek.

Suspensi belakang jenis penyerap hentakan tunggal selain sistem ekzos mufler yang pendek namun tampil kemas.

Model ini dikuasakan enjin 999cc K5 (seperti yang terdapat pada model GSX-R1000 yang diberi talaan baru), empat silinder, sejukan cecair, DOHC yang menjana 147 kuasa kuda (hp) pada 10,000 rpm dan tork 108Nm pada 9,500rpm.

GAYA sporty retro moden.
GAYA sporty retro moden.

Ia juga datang dengan Sistem Bantuan Klac (SCAS) dan transmisi enam kelajuan bagi kelancaran pada sebarang tukaran gear.

Penulis perlu berhati-hati untuk memulas pendikit kerana ia agak responsif dan oleh kerana ia datang dengan enjin empat silinder, ia sudah pastinya menawarkan limpahan kuasa yang mantap pada pelbagai kelajuan.

Penulis menunggangnya di lebuh raya dan menyusur masuk ke jalan persekutuan ke Kuala Kubu Bharu.

Sebagai penunggang kasual, ia menawarkan ciri yang mudah dikendalikan sebaik bergerak.

 METER digital pelbagai maklumat.
METER digital pelbagai maklumat.

SUSPENSI penyerap hentakan belakang tunggal.
SUSPENSI penyerap hentakan belakang tunggal.

Ketika di lebuh raya, dengan posisi menunggang yang betul, ia memberikan keselesaan pada kelajuan tinggi untuk menahan rintangan angin.

Memintas kenderaan tanpa perlu menukar gear, melayan selekoh berbukit dan sempit ke laluan Empangan Sungai Selangor cukup memberikan kepuasan tersendiri.

Meskipun tanpa mod tunggangan, namun Katana dilengkapi sistem Kawalan Cengkaman Termaju Suzuki terutama ketika menempuhi jalan basah dengan tiga mod berbeza mengikut keperluan (1 adalah paling rendah) yang boleh ditukar pada pemegang.

ENJIN 999 empat silinder.
ENJIN 999 empat silinder.

Menunggang di dalam bandar juga tidak terlalu sukar meskipun dengan berat 215 kilogram (kg) tidak seperti 'kapcai' untuk menyelit, namun ia tetap lancar menyusur laluan dengan kepanasan enjin yang minimum.

Secara keseluruhan, Suzuki Katana ini bukan sahaja model moden retro jenama ini malah penuh dengan ciri keunikan sebagai model ikonik.

Rekaannya malar segar namun pada pandangan penulis, pada bahagian ekor jentera ini, ada sedikit kekurangan daripada segi estetika yang terlalu pendek meskipun baik untuk ciri aerodinamik.

Ia juga sesuai untuk tunggangan di litar dengan ciri 'lap timer' pada meter yang menyimpan data kelajuan setiap pusingan.

Selain itu, tangki 12 liternya adalah kecil untuk jentera sebesar ini dan melalui gaya tunggangan penulis, ia hanya mampu bergerak sejauh 170km sahaja.

MUFLER ekzos kompak dan brek cakera tunggal belakang.
MUFLER ekzos kompak dan brek cakera tunggal belakang.

Kerangka aluminium twin-spar (berkongsi kerangka dengan model GSX-S1000F) menjadikan penunggang dalam kedudukan sedikit menegak sesuai untuk perjalanan dekat atau jauh dan tidak akan menyebabkan lengan menjadi sengal.

Lampu parkir antara elemen keselamatan tambahan yang disediakan pada model ini.

Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Mod Cengkaman berfungsi baik ketika memberhentikan jentera atau dalam keadaan jalan basah.

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Katana GSX-S1000S dijual pada harga RM77,989 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu 'Metallic Mystic Silver' dan 'Glass Sparkle Black'.

Ia juga ditawarkan dengan jaminan dua tahun pengeluar atau 20,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:20 AM