Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berbahas pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berbahas pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Rakyat perlu dibantu membina kekayaan secara jangka panjang menerusi peningkatan pendapatan aktif dan pasif serta pengurangan kos sara hidup bulanan.

Perkara itu dicadangkan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, selain mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi melalui pertumbuhan ekonomi menerusi peningkatan dan perubahan kemahiran yang digariskan dalam RMK-12, kerajaan juga perlu membantu rakyat mencapai pendapatan pasif melalui pulangan pelaburan dan simpanan.

"Saya cadangkan bank perkenalkan produk mesra pembelian saham untuk membiayai sehingga 70 peratus pembelian dengan kadar caj perkhidmatan sebanyak tiga peratus setahun.

"Ini untuk setiap rakyat yang ingin melabur dalam senarai saham Bursa Malaysia yang disyorkan bank dan penganalisis pasaran.

"Ini samalah seperti skim pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sudah dilaksanakan sejak dulu lagi. Dengan ini rakyat mampu cipta kekayaan secara jangka panjang apabila harga saham naik... jika tidak naik pun kadar dividen masih boleh membiayai kos pinjaman bank," katanya.

Bagi menggalakkan rakyat menyimpan dan menjana pendapatan pasif, beliau mencadangkan had maksimum pelaburan ASB dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM400,000.

"Maka dengan ini jika seorang pelabur membuat pelaburan maksimum pada kadar enam peratus setahun, ini membolehkan pencarum beroleh pendapatan pasif sehingga RM2,000 sebulan.

"Bagi mencapai matlamat ini, skim pembiayaan ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM) di bank perlu ditambah baik dengan mengambil kesempatan kadar caj perkhidmatan bank ketika ini paling rendah dalam sejarah," katanya.

Menurutnya, perhatian juga perlu diberikan kepada cara meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dengan mengurangkan kos sara hidup bulanan.

"Tidak bermakna jika pendapatan meningkat tapi kos sara hidup turut meningkat.

"Jadi, program digemari rakyat umpamanya Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) perlu diperkenalkan dan ditambah baik dengan melanjutkan waktu operasi terutama UTC yang sapatutnya dibuka sampai 10 malam serta (dibuka) Sabtu dan Ahad.

"Selain itu, projek infra rakyat pengangkutan awam perlu diperhebatkan kerana mampu kurangkan kos pengangkutan bulanan dan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan produktiviti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:57 PM