DR Ahmed Razman
DR Ahmed Razman

DANA Amanah Saham Bumiputera (ASB) masih lagi menguntungkan untuk pelabur yang mencari platform untuk menyimpan dan melabur dengan risiko pelaburan rendah dan tidak berdepan risiko kehilangan modal.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun kadar pulangan agihan pendapatan ASB dalam tempoh tiga tahun ini sekitar lima peratus, namun ia lebih kompetitif berbanding instrumen pelaburan lain.

Katanya, bagaimanapun masih ada lagi potensi untuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan dividen ASB yang kompetitif biarpun Bank Dunia menjangkakan kemelesetan ekonomi pada 2023.

"Bagi tahun kewangan 2022, kadar dividen ASB adalah sebanyak 3.35 sen dan bonus 1.25 sen, berjumlah 4.60 sen seunit selain terdapat bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.

"Jumlah yang diagihkan ini adalah kompetitif kerana mengambil kira kalau kita lihat tahun ini kesemua indeks saham tempatan mahupun di Asia dan Amerika Syarikat semuanya negatif.

"Tahun ini juga lebih mencabar dan jika dilihat pada jumlah peruntukan untung yang diagihkan tahun ini RM8.9 bilion, ia dalah sama seperti tahun lalu.

"Namun, peratusan dividen lebih rendah kerana sebelum ini 4.25 sen (2021) datang daripada RM8.9 bilion dan sekarang hanya 3.35 sen. Keadaaan ini berlaku kerana setiap tahun pemegang akaun ASB bertambah.

"Maknanya jika Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mahu beri peruntukan sama seperti tahun lalu, ia agak sukar dilakukan kerana tahun lalu walaupun pasaran saham KLCI dengan Asia negatif tetapi ketika itu S&P 400 dan 500 (indeks pasaran saham Amerika) positif, namun tahun ini kesemua indeks saham negatif.

"Bermakna tahun ini lebih mencabar dan disebabkan itu ASNB tidak boleh menaikkan lagi kadar dividen. Bagaimanapun, mereka ada simpanan tunai dan daripada situ agihan bonus semua diberikan dan jumlah itu masih lagi tinggi," katanya.

"Saya lihat ASNB akan cuba pastikan pulangan dividen kompetitif dan tidak lagi rendah berbanding tahun lalu kerana akan memberi kesan kepada sentimen pelabur dan ASNB ada ruang untuk menggunakan wang tunai atau simpanan yang mereka ada," katanya kepada Bisnes Metro.

Ditanya mengenai kadar dividen yang akan diagihkan tahun depan, beliau menjangkakan kadar pulangan agihan pendapatan ASB akan terus kekal sekitar lima peratus.

"Walaupun dijangka ekonomi perlahan tahun depan, namun ekonomi Malaysia dijangka berkembang sekitar 4.0 ke 5.0 peratus, jadi ada ruang lagi untuk indeks saham menunjukkan prestasi lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi pelabur yang membuat pembiayaan ASB, ia sudah tidak menguntungkan bagi mereka kerana dividen sekitar lima peratus, manakala kadar dasar semalaman (OPR) pula meningkat dan pada 2023 dijangka OPR akan meningkat lagi.

"Apabila OPR naik, kadar yang dikenakan oleh bank akan lagi tinggi daripada itu dan terdapat perbezaan dari segi kadar dividen dan kadar pinjaman. Kita juga perlu ambil kira kadar inflasi 4.0 peratus.

"Oleh itu, mereka yang terfikir untuk meminjam dan melabur perlu mempertimbangkan banyak perkara, namun bagi mereka yang sudah lama meminjam ia akan memberi pulangan bagi jangka panjang.

"Untuk mereka yang ingin melabur ke dalam ASB secara meminjam, lebih baik melabur menggunakan lebihan pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 7:10 AM