PELABUR ASB boleh menyemak baki pelaburan mulai 2 Januari, semalam.
PELABUR ASB boleh menyemak baki pelaburan mulai 2 Januari, semalam.
Bisnes HM

PELABUR Amanah Saham Bumiputera (ASB) digesa tidak beremosi atau berasa tertipu mengenai agihan pendapatan dividen dan bonus 5.5 peratus diumumkan baru-baru ini sebaliknya fahami makna pelaburan serta konsep pulangan dan risiko.

Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia, Nazarry Rosli, berkata antara risiko pembiayaan ASB adalah jika agihan dividen tinggi daripada kadar faedah sudah tentu pelabur untung besar, tetapi sekiranya agihan pendapatan ASB rendah daripada kadar faedah, mereka perlu menambah (jurang perbezaan) nilai ansuran pinjaman.

“Apabila kita melabur menggunakan wang yang dipinjam dan agihan dividen diperoleh pula tidak melepasi kadar faedah ditetapkan, memang peminjam perlu tambah.

“Namun dalam isu ini, agihan pendapatan ASB masih lagi tinggi berbanding kadar faedah ASBF antara 4.2 peratus hingga 5 peratus yang dikenakan. Cuma jurang keuntungan lebih kecil, belum sampai tahap peminjam perlu menambah wang.

“Saya berpendapat, peminjam sepatutnya sudah lebih jelas dengan perkara ini sebelum mereka menandatangani perjanjian pembiayaan,” katanya.

Selain itu, ASB tidak pernah menjanjikan dividen tahunan yang diberikan akan kekal pada kadar tertentu dan sekiranya dividen ASB lebih rendah berbanding caj pinjaman bank, peminjam perlu menambah wang sendiri untuk membayar wang ansuran bulanan.

Ramai juga pelabur tidak sedar, apabila membayar ansuran bulanan, mereka bukan melabur dalam ASB sebaliknya wang itu dibayar kepada bank untuk melangsaikan pinjaman.

Justeru, apabila mereka mengambil keputusan untuk menebus pembiayaan ASB, mereka hanya mendapat semula wang dalam jumlah kecil atau mungkin tidak menerima apapun kerana harus membayar semula keseluruhan pinjaman.

Peminjam turut tidak sedar pembiayaan mereka itu dicagarkan atas sijil ASB (seperti rumah dijadikan cagaran apabila mengambil pinjaman perumahan) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu mencairkan pelaburan terkini untuk membayar kepada bank.

Mengulas komen negatif netizen yang mengancam untuk menebus pelaburan mereka, Nazarry menyatakan mengapa perlu mempertikaikan perkara yang sepatutnya sudah diketahui.

“Situasinya sama sahaja kalau kita perlu membuat ansuran bank untuk bayar rumah RM1,000 sebulan. Jika rumah itu disewa sebanyak RM1,500, dapatlah aliran tunai positif, tetapi sebaliknya jika kadar sewa lebih rendah kerana peminjam yang kena top up,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan pelabur ASB menggunakan masa penangguhan urus niaga sebagai tempoh bertenang.

“Bertenang dulu. Pergi ke kaunter ASB, semak baki akaun.

“Ketika itu, baru buat keputusan sama ada betul atau tidak amarah kita pada agihan pendapatan ASB yang diumumkan itu berbaloi atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:02 AM