ZAKARIA menerima kunjungan daripada sukarelawan AmalTeam Johor dan wakil MAIJ yang menawarkan pelbagai jenis sumbangan.
ZAKARIA menerima kunjungan daripada sukarelawan AmalTeam Johor dan wakil MAIJ yang menawarkan pelbagai jenis sumbangan.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Suami nekad bekerja sebagai pengawal keselamatan biarpun dalam tempoh setahun lalu pernah tiga kali dia diserang strok namun pada serangan kali keempat April lalu, dia terus terlantar hingga kini,” kata Wan Zaiton Wan Abdullah, 42.

Wan Zaiton berkata, kini, dia dan anak terpaksa memberi penjagaan kepada suaminya, Zakaria Othman, 49, secara bergilir-gilir terutamanya ketika dia keluar bekerja syif malam sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang berhampiran kediamannya di Jalan Rumbia 82, Taman Daya di sini.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana semua anaknya yang berusia antara 13 hingga 21 tahun memahami keadaan keluarga dan belajar hidup secara berjimat kerana menyedari keadaan kewangan mereka terjejas sejak suaminya diberhentikan kerja apabila jatuh sakit.

“Anak sanggup berkorban termasuk hanya memakan secara sederhana kerana menyedari hanya saya seorang yang bekerja dan pendapatan pula hanya RM1,000 sebulan.

“Malah, pada setiap bulan, baki pendapatan saya yang tinggal hanya RM200 selepas RM800 digunakan untuk menampung kos pembelian susu dan lampin pakai buang suami,” katanya ketika ditemui, semalam.

Wan Zaiton berkata, dia bagaimanapun terkilan dengan nasib suaminya yang dibuang kerja secara mengejut oleh majikan.

Menurutnya, ia berikutan suaminya diserang strok ketika dalam tugasan akibat tekanan darah tinggi dan sepatutnya majikan berkenaan melaporkan kejadian itu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Katanya, buat masa ini, keluarganya juga masih belum memohon bantuan daripada pihak berkaitan kerana kekangan masa.

“Saya keliru dengan nasib keluarga kerana semua anak saya masih belajar termasuk dua orang di Universiti Awam (UA) manakala dua yang lain di sekolah menengah.

“BIl air dan elektrik saya juga masih tertunggak dan menanggung kos sewa sekiranya berpindah ke rumah sewa lain dan itu di luar kemampuan saya,” katanya.

Wan Zaiton berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila menerima kunjungan daripada sukarelawan AmalTeam Johor dan wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menawarkan beberapa jenis bantuan yang mampu meringankan beban keluarga.

“Hanya Allah mampu membalas jasa baik mereka ini,” katanya.

Hadir menyampaikan sumbangan itu Pengerusi AmalTeam Johor, Romzi Abd Aziz dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Agihan Zakat Johor Bahru, Mohd Mikail Mohd Rais.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Wan Zaiton menerusi akaun Public Bank 4864730701.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:11 AM