Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Demi tanggungjawab sebagai anak, dia nekad berhenti kerja dan mengorbankan masa depan bagi memberi perhatian sepenuhnya menguruskan ibu tersayang.

Tanggungjawab Wan Khairul Riduan Al Hakimi Fikir Wan Kamaruddin, 23, bukan hanya tertumpu kepada ibunya, Norlia Mohamed Zain, 53 yang menghidap penyakit saraf, tapi juga turut menguruskan neneknya, Kelthom Daud, 78, yang diserang strok sejak setahun lalu.

Pemuda itu sebelum ini menyertai askar wataniah kira-kira tiga tahun namun sejak ibu dan neneknya terlantar dan tiada siapa yang boleh menjaga mereka, dia mengambil keputusan berhenti daripada kerjaya itu.

Wan Khairul Riduan berkata, walau hatinya meronta untuk bekerja disebabkan kekangan kewangan dan usia yang masih muda, dia akhirnya reda apabila menyedari ibu dan neneknya sangat memerlukannya.

"Ibu sakit sejak tiga tahun lalu akibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia mengalami masalah berkaitan saraf yang seterusnya menyebabkan dia langsung tidak berupaya menguruskan diri sendiri termasuk makan dan mandi.

"Begitu juga nenek yang diserang strok dan lumpuh sebelah tubuh sejak setahun lalu dan kini hanya saya yang menjadi tempat mereka bergantung manakala seorang lagi kakak yang tinggal bersama bekerja di sebuah pasar raya di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Mas di sini, semalam.

Wan Khairul Riduan berkata, setiap hari dia akan mendukung ibu untuk dimandikan sebelum disusuli neneknya dan mengakui pernah terjatuh beberapa kali semasa tugas itu dilakukan namun setakat ini belum berlaku kecederaan serius.

Katanya lagi, selepas itu dia akan menyuap makan ibu dan neneknya secara bergilir kerana kedua-duanya tidak mampu makan sendiri disebabkan lemah anggota badan termasuk kaki serta tangan.

"Saya langsung tidak boleh meninggalkan ibu dan nenek kerana setiap masa mereka memerlukan saya terutama ibu yang sering sakit di beberapa bahagian tubuhnya terutama kedua belah tangan dan perlu sentiasa diurut bagi melegakan kesakitan itu," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

WAN Khairul bersama ibunya, dan neneknya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tanjong Mas di sini, semalam. FOTO Siti Rohana Idris
WAN Khairul bersama ibunya, dan neneknya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tanjong Mas di sini, semalam. FOTO Siti Rohana Idris

Sementara itu bagi Norlia, dia bukan tidak bersimpati dengan nasib Wan Khairul Riduan yang terpaksa mengorbankan diri sendiri demi menguruskannya namun keadaan memaksa malah dua lagi anaknya yang tinggal berasingan ada komitmen sendiri.

"Anak yang sulung bekerja di Kuala Lumpur manakala anak kedua pula sudah berumahtangga dan mereka juga bukan orang yang senang namun ada juga mengirimkan wang untuk kegunaan kami terutama bagi membeli lampin pakai buang.

"Saya dan emak sama-sama perlu dipakaikan lampin pakai buang dan bagi menjimatkan wang, anak membelikan lampin pada harga yang termampu namun kerap juga terputus bekalan menyebabkan kami terpaksa buang air di tempat tidur.

"Saya juga pernah beberapa kali tidak menghadiri rawatan susulan di hospital kerana tidak mampu menyediakan tambang kereta sewa yang dikenakan RM30 untuk sehala," katanya sambil memberitahu dia dan ibunya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan setiap seorang.

Terdahulu mereka menerima kunjungan daripada wakil kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang menyampaikan sumbangan barang dapur untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Bagi yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Norlia iaitu 0301041000101611 atau menghubunginya di talian 01111446447.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 2:54 PM