DUA beranak yang dibantu Wan Siti Aisyah. FOTO ihsan Wan Siti Aisyah Wan Hamzah
DUA beranak yang dibantu Wan Siti Aisyah. FOTO ihsan Wan Siti Aisyah Wan Hamzah
Redzuan Muharam


"NIAT saya hanya untuk membantu dan Alhamdulillah, Allah beri jalan serta mempermudahkan," kata pemilik spa, Wan Siti Aisyah Wan Hamzah yang membantu dua beranak ditemui di kaki lima dalam keadaan menyedihkan.

Wan Siti Aisyah berkata, dia bertemu bapa dan anak kecil itu di hadapan sebuah pasar raya mini di bawah spa miliknya di Jalan Sungai Tua, Selayang, kelmarin.

"Kebetulan, spa saya terletak di atas pasar raya mini berkenaan jadi sering melihat mereka berdua duduk di situ.

"Cuma, belum ada kesempatan untuk bertanya kisah sebenar dengan lelaki berkenaan sehingga kelmarin," katanya yang dihubungi hari ini.

Menurutnya, lelaki itu memberitahu dia adalah warga Myanmar dan menyewa di kawasan berhampiran.

"Dia kematian isteri sejak anak tunggal lelakinya berusia dua bulan," katanya.

Simpati dengan nasib lelaki berkenaan, Wan Siti Aisyah membantu dengan memberi upah memasang langsir di spa miliknya.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Wan Siti Aisyah memuat naik hantaran kisah dua beranak itu di Facebook (FB) kelmarin.

Wan Siti Aisyah berkata, suaminya tidak menghalang sebaliknya memberi galakan untuk membantu.

"Saya ada bertanya apa kemahiran dimilikinya dan dia memberitahu mahir dalam kerja pendawaian serta boleh menggunakan mesin gerudi.

"Jadi, saya minta bantuannya memasang langsir di spa hari ini.

"Mulanya, dia agak keberatan menerima upah kerana hanya mahu membantu tetapi saya minta dia mengambilnya lagipun wang itu boleh digunakan untuk perbelanjaan anak," katanya.

Menurutnya, dia ada bertanya kepada lelaki berkenaan sebab dia tidak bekerja.

"Katanya, anaknya masih kecil dan saya sendiri lihat bagaimana budak itu tidak boleh berenggang dengan bapanya sewaktu lelaki itu melakukan kerja pemasangan langsir.

"Daripada situ, saya faham dan tidak fikir langsung dia ada niat jahat atau cuba mengambil kesempatan walaupun ada yang mengingatkan saya untuk berhati-hati .

"Bagi saya, terpulang kepada orang ramai untuk membantu cuma saya bersyukur diberi peluang menolong dua beranak itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 11:08 PM