KEADAAN Perodua Myvi yang terbakar.
KEADAAN Perodua Myvi yang terbakar.

Slim River: Tindakan pantas seorang pemandu dan tiga penumpang keluar dari kenderaan yang terbabas menyelamatkan mereka daripada maut apabila kereta itu terbakar dalam kejadian di Kilometer 371.2 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, Perodua Myvi yang dinaiki empat rakan sekerja terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita gagal dikawal akibat tayar hadapan pancit sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Ipoh dari Kuala Lumpur.

Katanya, ketika memandu di lorong kanan, pemandu berusia 25 tahun tiba-tiba terdengar bunyi di bahagian hadapan kereta.

“Kereta yang dipandu gagal dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum masuk ke longkang di kiri lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sempat keluar daripada kenderaan sebelum ia terbakar beberapa minit kemudian.

“Semua mangsa dirujuk ke Hospital Slim River untuk pemeriksaan terhadap kecederaan yang dialami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River Yussli Abd Latif berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.50 pagi sebelum mengerahkan anggotanya ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati semua mangsa sudah menyelamatkan diri manakala kereta itu terbakar hampir 80 peratus.

“Anggota bomba mengambil masa dua minit untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 10:40 AM