keadaan kereta yang dinaiki mangsa.
keadaan kereta yang dinaiki mangsa.
Farah Suhaidah Othman


Slim River: Seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia 10 tahun parah selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu pecah dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 366.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, Ch’ng Siew See, 48, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala anak lelakinya, Jonathan Teoh Ming Ern, 10, putus jari kaki kiri.

Sementara suami mangsa, Teoh Cheng Eng, 48, dan anak perempuannya, Abigail Teoh Per Ern, 17, serta pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Yati, 32, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta Peugeot dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya menghala ke Pulau Pinang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri kereta itu pecah hingga mengakibatkan kereta dipandu hilang kawalan sebelum berpusing dan merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, isteri lelaki berkenaan tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Bilik Mayat, Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala anaknya yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Yussli Abd Latiff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 1.57 petang sebelum anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah pemandu namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 6:39 AM