ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kereta di Jalan Slim River-Sungkai berhampiran Ladang Sungai Kelah, Sungkai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah kereta di Jalan Slim River-Sungkai berhampiran Ladang Sungai Kelah, Sungkai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Shamsul Kamal Amarudin


SEORANG rentung manakala empat cedera apabila dua kereta bertembung di Jalan Slim River-Sungkai berhampiran Ladang Sungai Kelah, Sungkai, petang tadi.

Kejadian pada 6.25 petang itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira sedan dinaiki empat orang, dan sebuah Proton Wira Aeroback dipandu seorang lelaki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.30 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati kereta Proton Wira Aeroback terbabas ke laluan bertentangan dan masuk ke dalam longkang dalam keadaan terbakar.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kereta itu dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, empat orang yang berada dalam kereta Proton Wira Sedan pula cedera dan dihantar ke hospital oleh orang ramai.

Katanya, pasukan bomba diketuai Ketua Operasi Yussli Latiff menggunakan dua aliran hos bagi memadamkan kebakaran kereta berkenaan.

“Anggota bomba bertindak memotong bahagian hadapan kereta berkenaan bagi mengeluarkan mayat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 10:56 PM