TAJUDDIN
TAJUDDIN
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Berlagak hidup mewah dengan menyamar sebagai jutawan China sebelum memperdaya ramai ahli perniagaan tempatan menerusi skim pelaburan ‘Nanning’.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, sindiket itu yang beroperasi sepenuhnya di beberapa lokasi di China menyasarkan rakyat negara ini sebagai mangsa.

Sindiket yang bergerak secara berkumpulan itu dikesan akan menjemput beberapa pelabur berpotensi di kalangan ahli perniagaan ke daerah Nanning, China, sebelum pertemuan diaturkan di hotel mewah selain suspek sengaja menonjolkan kekayaan dimiliki.

Anggota sindiket akan membawa pelabur dari Malaysia ke beberapa tapak projek di Nanning, China, yang didakwa milik mereka.

Mangsa kemudian dipujuk untuk turut sama melabur dalam projek hartanah dan dijanjikan pulangan keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat.

Sebaik pelaburan dibuat, mangsa akan dibayar keuntungan lumayan bagi memastikan mangsa yakin dengan skim pelaburan itu.

Mangsa kemudian akan menarik pelabur lain dari Malaysia sebelum membuat pelaburan kedua dalam jumlah lebih besar.

Bagaimanapun mangsa menyedari diperangkap apabila ahli sindiket akan terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Bukit Aman Datuk Tajuddin Md Isa berkata, maklumat awal pihaknya mendapati sindiket ini beroperasi sepenuhnya di China, namun mempunyai ejen di negara ini.

“Hingga kini JSJK belum lagi menerima laporan daripada mangsa dan kami meminta orang ramai yang pernah berurusan dengan sindiket atau menjadi mangsa tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau memberitahu, JSJK akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa negara tembok besar itu melalui Polis Antarabangsa (Interpol).

Difahamkan sindiket itu memperdayakan lebih 20 mangsa membabitkan penipuan berjumlah puluhan juta ringgit.

“Kegiatan penipuan ini sentiasa dipantau rapi JSJK dan kami sering bertukar maklumat bagi membolehkan sindiket ditumpaskan,” katanya.

Tajuddin turut menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan janji pelaburan yang membawa keuntungan berlipat ganda dan meminta mereka menyemak dengan pihak berkuasa serta Bank Negara bagi memperoleh kepastian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 9:58 AM