Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan lima kes jenayah komersial di Menara KPJ hari ini. FOTO BERNAMA
Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan lima kes jenayah komersial di Menara KPJ hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis pihak tertentu yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan sehingga 51 kali ganda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia susulan seorang wanita kerugian RM585,700 akibat ditipu sindiket yang menggunakan nama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Menurutnya, sindiket terbabit bukan sahaja menjanjikan pulangan berlipat kali ganda malah turut menjanjikan keuntungan dalam tempoh tiga ke enam jam sahaja.

"Sindiket ini menawarkan pelaburan saham, mata wang digital dan dana geran menggunakan nama Mida, lima pakej pelaburan ditawarkan melalui pakej serendah RM300 hingga RM2,000.

"Orang ramai perlu peka sekiranya pelaburan itu menawarkan keuntungan tinggi tetapi tiada kerugian, kemungkinan besar itu penipuan," katanya pada sidang media di pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ramli berkata, setakat ini, 28 laporan diterima di seluruh negara berkaitan taktik sama membabitkan kerugian RM1.24 juta.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, sindiket penipuan itu mula beroperasi Oktober tahun lalu menerusi media sosial antaranya Facebook, WhatsApp, Telegram dan Tiktok untuk mencari mangsa.

"Untuk rekod, pada 9 November 2022,Mida sudah mengeluarkan amaran berkaitan penipuan pelaburan yang menggunakan nama agensi itu melalui laman Facebook rasmi mereka.

"Amaran yang sama turut dimuat naik di https://www.mida.gov.my/ms/perihalmida/scam-alert/," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita dari Melaka kerugian RM585,700 selepas menyertai satu skim pelaburan yang menawarkan keuntungan 51 kali ganda.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 2:49 PM