SALAH seorang suspek utama yang diberkas polis.
SALAH seorang suspek utama yang diberkas polis.
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Sindiket pelaburan haram ‘super kaya’ apabila mangsa yang melabur RM1,000 dijanjikan keuntungan RM 1 billion.

Itu pulangan luar biasa ditawarkan sindiket pelaburan haram didalangi seorang mualaf dengan bantuan seorang doktor bersama isterinya.

Sindiket penipuan diberi nama ‘Federal Reserve Chicago Bond’ itu sudah mengaut keuntungan lebih 90 juta rata-ratanya dikutip daripada golongan pesara di negara ini.

Setakat ini, seramai 8,200 individu sudah menjadi mangsa penipuan sindiket yang sudah beroperasi sejak tahun 2014 itu, namun masih ramai mangsa enggan tampil membuat laporan polis.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, sembilan ahli sindiket itu berjaya ditangkap hasil operasi khas dijalankan pihaknya bermula 24 Mei lalu.

“Sindiket itu mulanya menawarkan skim pelaburan melalui laman webnya di mana nilai pelaburan bermula pada RM100 hingga RM1,000 seorang.

“Apabila mangsa melabur dalam skim berkenaan, mereka dijanji keuntungan, namun perlu menunggu dalam tempoh masa lama berikutan wang keuntungan perlu dihantar dari Chicago, Amerika Syarikat ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu menyerupai African Scam dan mereka belajar berhubung taktik penipuan itu daripada sindiket dari negara luar.

“Selepas mangsa melabur antara RM100 hingga RM1,000, mereka akan meminta pelabur atau mangsa membantu membayar wang cukai untuk nilai keuntungan kononnya ‘dilepaskan’ Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 7:43 AM