Shahidan (kanan)  bersama kakitangan majlis daerah meninjau kawasan penerokaan haram di Hutan Simpan Bukit Jerut, Tringkap yang sudah pulih dan ditanam semula.
Shahidan (kanan) bersama kakitangan majlis daerah meninjau kawasan penerokaan haram di Hutan Simpan Bukit Jerut, Tringkap yang sudah pulih dan ditanam semula.
Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memulakan fasa kedua Op Gading di kawasan pencerobohan haram dengan penguatkuasaan lebih tegas terhadap individu dan syarikat yang didapati terbabit dalam kegiatan menceroboh tanah kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, setakat ini, MKN sudah mengenal pasti 90 hingga 100 individu dan 20 syarikat membabitkan warga tempatan serta asing yang menjalankan aktiviti penerokaan haram.

Beliau berkata, fasa kedua penguatkuasaan itu dijangka bermula pertengahan April ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 12 April ini.

“Beberapa pendekatan baru akan digunakan dalam operasi fasa kedua ini, namun saya tidak boleh maklumkan secara terperinci dan apa yang penting selain pengawasan serta pemantauan, kita juga akan berusaha membawa peneroka untuk pendakwaan.

“Selain itu, kita juga akan meminta pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyenarai hitamkan syarikat yang didapati terbabit menjalankan aktiviti penerokaan haram agar syarikat berkenaan dan pemiliknya tidak boleh beroperasi lagi atau menubuhkan syarikat lain,” katanya selepas membuat tinjauan ke bekas kawasan penerokaan haram di Hutan Simpan Bukit Jerut dan Sungai Kial, Teringkap, di sini, semalam.

Menurutnya, bagi peneroka yang menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah pula, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diminta mengambil tindakan pendakwaan termasuk yang boleh dikenakan hukuman rotan.

“Terdapat peruntukan undang-undang di mana majikan yang menggajikan lima pekerja asing tanpa permit yang sah boleh dirotan.

“Selain itu, kita juga akan menyita dan merampas jentera yang digunakan bagi aktiviti penerokaan haram,” katanya.

Shahidan berkata, dalam fasa pertama, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan MKN membabitkan 500 pegawai penguat kuasa yang terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan merangkumi 75 peratus (kira-kira 2,000 hektar) kawasan penerokaan haram di sini dengan selebihnya akan dilaksanakan dalam fasa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 8:58 AM