Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersama kakitangan majlis daerah meninjau kawasan penerokaan haram di Hutan Simpan Bukit Jerut, Tringkap, yang sudah ditanam semula. - Foto L MANIMARAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersama kakitangan majlis daerah meninjau kawasan penerokaan haram di Hutan Simpan Bukit Jerut, Tringkap, yang sudah ditanam semula. - Foto L MANIMARAN
BERNAMA

Cameron Highlands: Kira-kira 20 syarikat yang dikenal pasti terbabit dalam penerokaan tanah secara haram di sini, berdepan tindakan disenarai hitam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya pemilik entiti berkenaan disenarai hitam daripada menubuhkan syarikat baharu pada masa depan.

"Kami juga akan minta SSM halang mereka daripada menjadi pengarah dalam mana-mana syarikat," katanya selepas meninjau keadaan di kawasan yang pernah diceroboh di hutan simpan Bukit Jerut dan Sungai Kial, Tringkap di sini, hari ini.

Katanya, semua syarikat itu dikenal pasti menerusi Ops Gading Fasa Satu yang dikelolakan MKN pada 2014 bertujuan membasmi kegiatan penerokaan tanah secara haram dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di sini.

Menurutnya, Ops Gading juga mengenal pasti kira-kira 100 peneroka haram yang sebahagiannya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) melakukan pencerobohan hutan dan tanah di kawasan tanah tinggi itu.

“Siasatan sedang dijalankan dan jika didapati bersalah semua aset peneroka itu akan dirampas, manakala punca air dan elektrik diputuskan. Sekiranya peneroka ini didapati menggaji pekerja asing tanpa izin, mereka berdepan tindakan mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 9:42 PM