Putrajaya: “Saya tidak menjawab soalan secara spesifik berkenaan artikel yang diterbitkan dalam blog berkenaan kerana saya berharap dapat menjawabnya di mahkamah,” kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, beliau berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada lima peguamnya yang turut bersama sepanjang memberi keterangan kepada polis di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, di sini, semalam.

Menurutnya, kehadiran peguam adalah bagi menyemak atau menasihatkan apa yang perlu beliau perkatakan.

“Saya ditanya lebih 30 soalan, atas nasihat daripada peguam saya tidak menjawab secara spesifik mengenai artikel itu ketika ditanya polis.

“Sekiranya dipanggil ke mahkamah, saya akan mengikut prosedur ditetapkan dan menjawab dengan jujur tanpa berselindung kerana itu yang saya pegang selama ini, ia memberi lebih banyak peluang kepada saya untuk menjawab soalan,” katanya pada sidang media selepas di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Mahathir memberi keterangan hampir dua jam kepada tiga pegawai polis di pejabatnya berhubung artikel yang ditulis dalam laman blognya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengesahkan keterangan Dr Mahathir diambil bagi membantu siasatan selepas beberapa laporan polis dibuat ke atasnya.

Sebelum ini, Dr Mahathir melalui penulisan di blognya mendakwa peguam negara Tan Sri Apandi Ali tidak akan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana terhutang budi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mendakwa, aduan berkenaan penulisan di blognya itu adalah daripada seorang individu di Kelantan.

Pada masa sama, beliau mendakwa, wujud pihak lain yang turut menyatakan perkara sama, namun mereka tidak disoal siasat.

“Apakah ada diskriminasi? Untuk membuat tuduhan terhadap saya sahaja dan tidak orang lain yang membuat kenyataan lebih kurang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 10:09 AM