PULAU Batu Puteh. FOTO Arkib NSTP
PULAU Batu Puteh. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan tuntutan Malaysia dalam kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ditarik semula kerana perjanjian antara negara dengan ICJ dan Singapura adalah segala keputusan mahkamah itu akan diterima kedua-dua pihak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perjanjian sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan ICJ berhubung pertikaian wilayah di Pulau Sipadan dan Ligitan sebelum ini.

"Jika Malaysia tidak menepati syarat mahkamah antarabangsa, yang keputusan itu mesti diterima kedua-dua pihak (Malaysia dan Singapura), Indonesia juga boleh membuat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

"Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan menunaikan perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti.

"Selain itu, Malaysia mendapat Batuan Tengah yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang dilakukan dengan Pulau Layang-Layang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, yang sebelum ini ingin mengetahui mengapa tuntutan kes Batu Puteh di ICJ ditarik balik pada Mei 2018, dua minggu sebelum tarikh bicara di The Hague.

Ia adalah antara empat soalan yang dikemukakan Apandi kepada Dr Mahathir melalui Facebooknya pada 23 Julai lalu.

Dr Mahathir mendakwa, kesalahan berhubung isu Pulau Batu Puteh itu bermula apabila pegawai kerajaan Johor menyatakan kepada British yang pulau itu bukan milik Johor.

"Fakta baharu, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi yang Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia," katanya.

Mengenai soalan mengapa Peguam Negara ketika pentadbiran Dr Mahathir, Tan Sri Tommy Thomas diarah menjawab surat tuntutan ke atas Sabah oleh waris pihak Sulu, bertarikh 19 September 2019, Dr Mahathir mendakwa, tuntutan itu dibuat semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak bidang kuasa mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang dihentikan.

"Tidak ada bukti yang tindakan Najib dipersetujui Peguam Negara pada masa itu atau Kabinet. Najib bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran," katanya.

Berhubung soalan Apandi, mengapa kerajaan membuat penyelesaian secara persetujuan atas kes pemecatan yang tidak sah terhadap dirinya sebagai Peguam Negara, Dr Mahathir berkata, ia disebabkan Apandi memutuskan Najib tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau mendakwa, seluruh dunia tahu mengenai kesalahan dalam kes itu dan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan secara terbuka terdapat kecurian wang 1MDB oleh "MO1", iaitu Najib, selain keputusan yang dibuat mahkamah sehingga peringkat Mahkamah Rayuan.

"Semua ini menunjukkan Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah.

"Perbuatan Apandi menunjukkan ia tidak berpegang kepada peraturan perundangan. Beliau tidak sesuai menjadi Peguam Negara dan memang kerajaan berhak untuk menamatkan (perkhidmatan) pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah," katanya.

Mengenai persoalan yang ditimbulkan mengenai anak Dr Mahathir yang menjadi jutawan, bekas Perdana Menteri itu meminta Apandi memberikan bukti yang anak beliau menjadi jutawan ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Sebenarnya, anak-anak saya tidak pun dibenar berniaga dengan kerajaan atau menyertai parti kerajaan. Jika ada anak yang jadi jutawan, sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberikan kepada mereka, serta bukti kejutaan mereka.

"Jika tidak ada bukti, saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:30 PM