DATUK Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan selesai merakam keterangan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di pejabatnya di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sebanyak 24 soalan dikemukakan, beliau hanya menjawab lima daripada soalan itu manakala baki soalan akan dijawab di mahkamah.

"Kertas siasatan itu akan dilengkapkan dalam tempoh satu minggu sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk arahan lanjut," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Abdul Hadi Awang selesai memberikan keterangan kepada pihak polis di Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, di sini, pada 12.30 tengah hari.

Keterangan berkenaan diambil bagi membantu siasatan berhubung ucapan Abdul Hadi yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, minggu lalu.

Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman dilaporkan berkata, Abdul Hadi memberikan kerjasama yang baik ketika memberikan keterangan.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan menghina institusi diraja, Ayob berkata, siasatan sedang dijalankan.

"Kita membuka kertas siasatan dan ada antaranya sudah dirujuk kepada AGC.

"Ada banyak laporan polis ke atas Tun M termasuk Akta Hasutan. Kita rujuk AGC dan tunggu arahan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 5:16 PM