TENGKU Adnan dan isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki meraikan Zainuddin (kanan) dan Zaharah (dua dari kiri) yang menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Putrajaya ke-3 1437/2016M di Masjid Putra.
TENGKU Adnan dan isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki meraikan Zainuddin (kanan) dan Zaharah (dua dari kiri) yang menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Putrajaya ke-3 1437/2016M di Masjid Putra.

Putrajaya: Budaya membaca al-Quran terus diperkasakan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, menerusi pelaksanaan pelbagai program membabitkan semua peringkat termasuk pelajar sekolah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Program Tahsin Iqra’ Sekolah-Sekolah Menengah Putrajaya; kelas agama dan fardu ain adalah antara program yang diperkenalkan bagi melahirkan lebih ramai pelapis qari dan qariah pada masa depan.

Beliau berkata, sejak dua tahun lalu, kementerian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan memperkenalkan Program Tahsin Iqra’ dengan harapan generasi muda celik al-Quran di Putrajaya.

“Saya percaya, program yang seakan tapak semaian ini bakal membenihkan lebih ramai lagi qari dan qariah sebagai pelapis dan peserta Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Wilayah Putrajaya pada tahun akan datang.

“Selain itu, usaha celik al-Quran tidak berakhir pada program itu sahaja sebaliknya fungsi 17 Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA); dua sekolah rendah agama akan diteruskan bagi mengangkat gagasan budaya Iqra’,” katanya ketika berucap pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Putrajaya Ke-3di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra di sini, semalam.

Seramai 21 qari dan qariah menyertai majlis tilawah berkenaan dan johan qari dimenangi Zainuddin Abd Rahman diikuti Mohd Tarmizi Abdul Sattar sebagai naib johan dan Mohd Shazeri Che Daud di tempat ketiga.

Bagi kategori qariah pula, johan dimenangi Zaharah Ahmad diikuti Nor Azizah Ishak sebagai naib johan dan Roslah Mohd Rani di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 6:26 AM