NUR Natasha (kanan) dan Ahmad Basyir yang muncul johan qariah serta qari bersama hadiah masing-masing. FOTO Iqmal Haqim Rosman
NUR Natasha (kanan) dan Ahmad Basyir yang muncul johan qariah serta qari bersama hadiah masing-masing. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


BERMULA dengan sering mengikuti keluarga ke pertandingan tilawah al-Quran sejak kecil, membuatkan Johan Qariah Majlis Menghafaz dan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sembilan, Nur Natasha Azeze Shariman Azeze, 18, meminati bidang itu.

Mendengar qari dan qariah mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan, lengkap taranum dan tajwid, mendorong remaja terbabit menyimpan angan-angan untuk mengikuti jejak mereka.

Minatnya itu disedari ibu bapa yang kemudian menghantarnya belajar dengan guru agama untuk mempelajari hukum tajwid dan taranum.

“Pertandingan tilawah al-Quran menjadi program kegemaran saya sejak usia tujuh tahun. Ibu mencarikan guru supaya saya dapat mempelajari al-Quran dengan lebih sempurna.

“Setiap hari saya memperuntukkan dua jam untuk belajar dengan guru. Di rumah pula, saya menggunakan masa terluang mengaji al-Quran untuk memantapkan lagi bacaan,” katanya.

Nur Natasha berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan sebagai johan qariah dalam majlis berkenaan yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban, malam tadi.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, Senawang itu gembira atas pencapaian tertinggi yang kali pertama diperolehinya.

Katanya, meskipun pernah mengikuti pertandingan sama tahun lalu, namun sekadar mendapat tempat ketiga bagi kategori remaja.

Sementara itu, Ahmad Basyir Abu Bakar, 37, dinobatkan sebagai johan qari pada pertandingan berkenaan.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Basyir dan Nur Natasha membawa pulang piala pusingan, sijil dan wang tunai yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berkenan mencemar duli pada majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Datuk Selamat Paigo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 11:00 AM