Mohd Ajib. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Mohd Ajib. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan pada 21 hingga 23 Januari 2020.

Diadakan di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tujuan utama penganjuran majlis ini adalah bagi mendaulatkan kitab suci al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian.

Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata, selain itu, ia bertujuan menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami, menghayati dan seterusnya menyemarakkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam al-Quran.

“Ia juga bertujuan memilih calon qari dan qariah dan hafiz serta hafizah yang berkelayakan dan terbaik bagi mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini yang akan diadakan di Sabah pada 13 hingga 21 Februari depan.

Majlis Menghafaz Al-Quran akan berlangsung pada jam 8.30 pagi hingga 5 petang manakala Majlis Tilawah Al-Quran pula berlangsung pada jam 9 hingga 11 malam manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran akan disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada 23 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 14 orang peserta iaitu tujuh peserta qari dan tujuh peserta qariah dengan pecahan qari terdiri daripada empat orang peserta dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, seorang Putrajaya, dan seorang johan menunggu manakala qariah terdiri daripada empat orang peserta dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, seorang dari Putrajaya dan seorang johan menunggu.

Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan adalah wang tunai RM5,000 serta pakej umrah bagi johan, wang tunai RM3,000 (kedua) dan wang tunai RM1,500 bagi tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 2:30 PM