ABDUL Latif dan Afzam memegang al-Quran Braille mereka.
ABDUL Latif dan Afzam memegang al-Quran Braille mereka.
Mohd Aizat Shamsuddin


KEKURANGAN sebagai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan tidak menghalang untuk mendalami al-Quran sebaliknya terus menjadi pembakar semangat untuk menguasai kitab suci itu dengan menggunakan al-Quran Braille.

Abdul Latif Yusof, 39, dari Besut yang catat penglihatan sejak kecil berkata, membaca al-Quran menggunakan Braille memerlukan seseorang itu belajar titik Braille terlebih dulu supaya lebih mudah membaca al-Quran Braille.

“Kekurangan penglihatan bukan penghalang saya belajar al-Quran. Mungkin pada peringkat awal sukar membaca setiap titik al-Quran braille namun apabila sudah menguasai, ia lebih mudah.

“Selain itu, walaupun kekurangan daripada segi penglihatan, namun saya menggunakan daya ingatan untuk mengingati setiap baris ayat yang seterusnya mudah untuk mengalunkan bacaan al-Quran,” katanya yang diangkat sebagai Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Braille Pertis Wilayah Terengganu di sini, semalam.

Pada majlis itu, 15 qari dan qariah memperdengarkan bacaan mereka. Bagi kategori Qariah pula dimenangi Afzam Mustafa, 39, dari Kemaman.

PENGARAH Yayasan Islam Terengganu, Azhar Jusoh (kiri) menyampaikan hadiah kepada Abdul Latif.
PENGARAH Yayasan Islam Terengganu, Azhar Jusoh (kiri) menyampaikan hadiah kepada Abdul Latif.

Afzam berkata, dia bersyukur dikurniakan dengan kemerduan suara untuk mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran walaupun OKU penglihatan.

“Saya sudah banyak menyertai majlis tilawah al-Quran, malah turut mewakili Terengganu dalam majlis tilawah al-Quran Braille Pertis peringkat kebangsaan baru-baru ini dan turut diangkat sebagai Johan.

“Saya bersyukur dan saya berazam mempertingkat lagi mutu bacaan taranum dan tajwid selepas ini agar dapat lakukan yang terbaik dalam majlis tilawah akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, penganjuran kali ke enam pertandingan tilawah Al-Quran itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan sasaran.

Katanya, setiap peserta mampu menguasai bacaan al-Quran Braille dan bertaranum dengan baik.

“Program sebegini dapat meningkatkan lagi keyakinan diri golongan OKU untuk mereka ke depan dan bukannya merendah diri dengan kekurangan diri.

“Malah kita merancang memperbesarkan lagi majlis tilawah OKU ini. Jika kita ada Sukan Paralimpik khusus untuk golongan OKU, kenapa kita tidak adakan majlis tilawah al-Quran yang sama untuk OKU,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:02 AM