DARI kiri, Siti Husnaa, Che Aminah, Norsyafirah dan Nor Jannah pada malam pertama majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-59 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya.
DARI kiri, Siti Husnaa, Che Aminah, Norsyafirah dan Nor Jannah pada malam pertama majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-59 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Usianya sudah mencecah 61 tahun namun kesungguhan dalam mendalami ilmu qiraat, tajwid dan taranum tidak pernah sekali pun ‘terpadam’ dalam diri.

Pada usia emas, peserta tilawah Wilayah Persekutuan, Che Aminah Che Awang menganggap usaha mendalami al-Quran seharusnya dilakukan berterusan dan sepanjang hayat kerana ia panduan serta perlu dihayati setiap masa.

Dia berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk bersara sebagai qariah.

“Saya tidak akan berhenti mendalami al-Quran termasuk mempelajari ilmu qiraat, tajwid dan taranum.

“Disebabkan saya mengajar al-Quran di Bandar Tun Razak, sudah pasti saya perlu mendalami bacaan al-Quran dan tidak boleh berhenti sekali gus membantu mengajar anak murid,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Che Aminah adalah antara lapan peserta yang memperdengarkan bacaan pada malam pertama Majlis Tilawah Al-Quran di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, Presint 3, di sini, malam tadi.

Antara yang memperdengarkan bacaan termasuk qari dan qariah dari Perlis, Mohd Mawardi Jamaludin dan Norsyafirah Jusoh diikuti qari dari Johor, Mohamad Zakiudin Hanafi.

Ia kemudian diteruskan dengan bacaan qariah Terengganu, Nor Jannah Abd Rahman diikuti qari Sarawak, Hadi Mohd Sharkawi dan seterusnya Che Aminah dan Abdullah Fahmi Che Nor Shukri (Kelantan).

Peserta terakhir malam tadi adalah Siti Husnaa Hassan, 24, dari Pahang.

Siti Husnaa berkata, dia berharap dapat melakukan yang terbaik pada majlis tilawah al-Quran kali ini dengan berbekalkan pengalaman sebelum ini.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-59 kali ini bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ dan disertai 14 qari dan 14 qariah termasuk dua johan menunggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:16 AM