Perkembangan syiar Islam yang pesat di Eropah mendorong Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bekerja lebih keras untuk membangunkan sebuah Pusat Islam dengan Warsaw, Poland menjadi pusat operasi.

Premis yang sudah dikenal pasti dengan kos RM1.8 juta itu kini masih dalam proses untuk disiapkan dan Muslim Care giat melakukan kutipan dana untuk menyempurnakan pembinaannya.

Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif berkata, idea penubuhan sebuah pusat Islam di Warsaw itu tercetus pada Disember 2014 ketika satu misi kebajikan digerakkan ke sana bagi membantu pelarian Chechnya yang tinggal di beberapa kem pelarian.

Beliau berkata, hasil kerjasama dengan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa mengenai Islam di Warsaw, usaha awal untuk memiliki sebuah premis bagi dijadikan pusat Islam sudah dilakukan.

“Kami sudah membuat bayaran awal berjumlah RM380,000, bermakna sebanyak RM1.42 juta lagi diperlukan untuk membolehkan Muslim Care memiliki premis itu secara mutlak.

“Sehubungan itu, kami amat berharap seluruh rakyat Malaysia dapat sama-sama menghulurkan sumbangan supaya kami dapat mengumpulkan dana yang diperlukan,” katanya.

Sumbangan boleh dilakukan melalui akaun Maybank (564490413882) dan Bank Islam (1401401014740) dan menghantar mesej ke talian 0126935938 (Zakaria) untuk memaklumkan sumbangan dibuat untuk pembinaan pusat Islam di Poland.

Zakaria berkata, usaha mengutip dana turut dilakukan oleh Muslim Care Eropah yang dianggotai lebih 50 penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di benua itu antaranya di Perancis, Jerman, United Kingdom, Republik Czech serta Poland.

Menurutnya, pada masa ini kelas pendidikan Islam untuk anak pelarian Chechnya di Poland sudah beroperasi di pusat Islam berkenaan dengan tenaga penggeraknya adalah pelarian Chechnya sendiri.

“Muslim Care menyeru seluruh umat Islam khusunya di Malaysia agar tidak melepaskan peluang untuk membuat ‘pelaburan bagi saham akhirat’ ini.

“Insya-Allah sumbangan anda adalah suatu ibadah yang akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, dalam misi kebajikan Muslim Care untuk membantu pelarian Syria di Eropah dengan kunjungan ke tiga lokasi dan berakhir di bandar ini kelmarin, sejumlah RM30,000 disumbangkan kepada sebuah masjid.

“Sumbangan disalurkan kepada Masjid Al-Nour yang begitu aktif membantu pelarian dari pelbagai negara dengan menyediakan makanan setiap hari selain tempat perlindungan sementara,” katanya.

Misi kebajikan Muslim Care ke Eropah bermula 26 Disember lalu membabitkan tiga lokasi iaitu Vienna, Austria, Prague, Republik Czech dan bandar raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:10 AM