Rombongan Muslim Care Malaysia bergambar bersama  Ahmad Fadil  di Rumah Malaysia Warsaw.
Rombongan Muslim Care Malaysia bergambar bersama Ahmad Fadil di Rumah Malaysia Warsaw.
Rombongan Muslim Care Malaysia mengedarkan sumbangan kepada anak pelarian.
Rombongan Muslim Care Malaysia mengedarkan sumbangan kepada anak pelarian.
Mohd Fadly Samsudin

Warsaw, Poland: Sindrom Islamophobia yang menebal dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Poland sebelum ini menjadikan proses penyampaian dakwah sukar dilakukan.

Propaganda digambarkan media barat menyebabkan Islam dilihat sebagai agama keganasan walaupun pada hakikatnya Islam mempromosikan toleransi dan kedamaian.

Bagaimanapun, persepsi buruk terhadap Islam itu semakin berkurangan hasil usaha dilakukan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang dari segenap negara Islam.

Duta Malaysia ke Poland Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pihak berkuasa Poland ketika ini mengamalkan dasar kebebasan beragama kepada penduduknya.

“Secara keseluruhannya, 90 peratus daripada 38 juta populasi penduduk Poland beragama Kristian Katolik, manakala penduduk Islam dianggarkan hanya sekitar 30,000.

“Berdasarkan jumlah itu, memang tiada tekanan ke atas golongan minoriti di sini, malah kerajaan Poland membenarkan setiap penduduknya mengamalkan ajaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun cabaran tetap ada terutamanya dalam usaha memberi pemahaman kepada penduduk tempatan mengenai Islam.

“Poland sebelum ini adalah negara yang tidak menerima pelarian yang bermasalah terutama dari Timur Tengah.

“Malah, penduduknya kerap membuat demonstrasi membantah ajaran Islam dipraktikkan berikutan perasaan Islamophobia yang menebal ketika itu,” katanya ketika ditemui di Rumah Malaysia Warsaw, malam semalam.

Pada pertemuan itu, seramai 11 delegasi Muslim Care Malaysia termasuk wartawan Harian Metro dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diraikan dalam majlis makan malam bersama Ahmad Fadil yang turut disertai pegawai serta pelajar perubatan yang menuntut di Poland.

Terdahulu, rombongan Muslim Care Malaysia pergi ke kawasan Lukow, kira-kira tiga jam perjalanan dari Warsaw untuk melawat serta mengagihkan sumbangan kepada 223 pelarian termasuk Chechen, Afghan dan Ukraine yang mendiami kem berkenaan.

Pihak Muslim Care Malaysia diketuai Presidennya, Zulkifli Wahijan meluangkan masa selama satu jam di sana serta menyampaikan sumbangan berupa tepung, minyak, gula dan daging halal dalam tin.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Fadil berkata, beliau memuji usaha dilakukan NGO dari Malaysia yang banyak membantu pelarian di beberapa kem penempatan di Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:23 AM