Kuala Lumpur: Kualiti udara di seluruh negara berada pada tahap sederhana apabila semua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak melebihi 100.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail berkata, pihaknya menjangkakan situasi jerebu ini akan berakhir pertengahan bulan ini.

Katanya, berdasarkan corak cuaca sekarang, negara kini mengalami ‘inter’ monsun iaitu musim antara monsun yang menyebabkan cuaca menjadi lembap.

“Inter monsun yang berlaku menyebabkan negara menerima jumlah hujan lebih banyak, jadi hujan ini ‘melenyapkan’ jerebu sedia ada secara beransur-ansur.

“Jerebu baru juga dijangka tidak akan memasuki negara kita berikutan tiupan angin yang lemah dari pelbagai hala yang tidak akan membentuk ribut tropika baru sehingga awal November berikutan peralihan musim dari Monsun Barat Daya kepada Timur Laut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, peralihan kepada Monsun Timur Laut menyebabkan keadaan cuaca serantau menjadi lebih lembap dengan hujan dan ribut petir boleh berlaku pada sebelah petang dan senja pada satu dua tempat di seluruh negara.

“Semenanjung tidak akan mengalami jerebu lagi kerana ketika ini, angin bertiup dari Laut China Selatan menyebabkan jerebu dari Kalimantan tidak sampai ke negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:38 AM