Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpu: Cuaca panas melampau yang sedang melanda negara pada masa ini dijangka berterusan sehingga September depan berikutan peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Alui Bahari berkata, cuaca panas dan kering yang sedang berlaku kini berpunca daripada faktor pertembungan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia fenomena gerhana matahari separa yang berlaku kelmarin, didapati tidak memberi kesan langsung terhadap cuaca dan suhu di negara ini.

“Pada ketika ini, negara kita sedang berada di penghujung musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada penghujung Mac atau awal April depan.

“Dalam tempoh ini, beberapa tempat di negara kita memang mengalami cuaca kering dan kurang hujan serta keadaan ini bertambah buruk lagi dengan kehadiran El Nino kuat sejak Oktober lalu hingga menyebabkan suhu negara meningkat lebih tinggi antara 0.5 dan 2 darjah celsius berbanding biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu katanya, pemerhatian semasa MetMalaysia juga mendapati kekuatan fenomena El Nino sudah mula menurun dan dijangka berakhir pada Jun depan.

“Bagaimanapun, pada Mei hingga September pula, negara akan mengalami Monsun Barat Daya yang lazimnya cuaca pada tempoh ini berada dalam keadaan panas dan kering.

Dalam perkembangan lain, Alui berkata, asap jerebu yang sedang melanda Riau, Sumatera, Indonesia tidak akan memasuki negara berikutan kitaran angin bertiup dari Timur Laut.

Sementara itu, tinjauan cuaca MetMalaysia menunjukkan tiupan angin Timur Laut dengan kelajuan lemah dijangka berterusan sehingga Selasa depan mengakibatkan cuaca seluruh negara dijangka tiada hujan pada waktu pagi.

Bagaimanapun, hujan dan ribut petir di satu dua tempat masih boleh berlaku di negeri Pantai Barat Semenanjung dan kawasan pedalaman Pahang, Kelantan dan Terengganu serta semua bahagian di Sarawak pada waktu petang dan senja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:42 AM