RUMAH Abd Hamid di Kampung Ampang Tinggi diterangi cahaya pelita raya.
RUMAH Abd Hamid di Kampung Ampang Tinggi diterangi cahaya pelita raya.
Amran Yahya

Kuala Pilah: Suatu ketika dulu, tradisi memasang pelita raya atau panjut di keliling rumah menjadi sebahagian kewajipan terutama menjelang Aidilfitri.

Kebiasaannya, ia dipasang ketika umat Islam berpuasa pada hari ke-27 yang lebih dikenali dengan nama malam tujuh lekor namun semakin dilupai.

Bagaimanapun, seorang penduduk di Kampung Ampang Tinggi masih mengekalkan tradisi memasang pelita setiap kali menyambut Ramadan dan Syawal bertujuan mengimbau kenangan silam selain mewujudkan kemeriahan.

Abd Hamid Mohd Isa, 62, berkata, setiap kali Ramadan, dia tidak melepaskan peluang memasang pelita bagi memberi kelainan dan keistimewaan pada bulan keberkatan ini.

“Tradisi memasang pelita hanya dibuat setiap Ramadan dan inilah keunikan bulan ini. Saya mula pasang sejak enam tahun lalu dan ketika itu hanya 10 pelita. Disebabkan seronok, jumlahnya kini mencecah 39 pelita.

“Saya seronok melihat halaman rumah diterangi cahaya. Meskipun terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM7 setiap malam bagi membeli diesel, tetapi itu bukanlah bebanan untuk saya meneruskan tradisi ini,” katanya.

Abd Hamid berkata, api pelita akan padam dengan sendirinya pada jam 4 pagi atau 5.30 pagi selepas kehabisan minyak.

“Kalau ada angin kuat, api pelita akan padam termasuk jika hujan. Tetapi setiap malam saya akan pastikan pelita menyala.

“Ramadan kali ini, saya mula memasang pelita sempena Nuzul Quran bersamaan 17 Ramadan iaitu pada 22 Jun lalu hingga hari ketiga Syawal.

“Isteri dan anak sentiasa memberi sokongan dalam usaha memeriahkan lagi malam Ramadan,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya penduduk kampung akan mula memasang pelita pada 27 Ramadan dan ketika itu cahaya pelita boleh dilihat di setiap rumah.

“Kelewatan memasang pelita mungkin disebabkan harga diesel agak mahal dan mereka hanya menyalakan pelita pada hujung Ramadan.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya murah. Justeru, saya memperuntukkan wang lebih RM50 untuk membeli diesel. Tradisi memasang pelita raya atau lampu panjut ini akan saya teruskan.

“Saya berharap tradisi ini terus diwarisi generasi muda pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 10:05 AM