Nazdy Harun


Marang: Berbekalkan minat dan sekadar suka-suka dengan membuat pelita buluh namun kini apabila tiba bulan Ramadan ia menjadi sumber rezeki buat seorang pemandu treler.

Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 39, dari Kampung Merchang di sini, berkata, dia mula membuat pelita buluh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Menurutnya, bermula hanya dengan menggunakan bahan terbuang seperti tin minuman dan kain seluar jeans yang dijadikan sumbu dia tidak menyangka pelita buluh yang dibuat mendapat sambutan.

Katanya, peringkat awal hanya rakan-rakan yang menempah namun selepas itu dia mengorak langkah dengan mengkomersialkan pelita yang diperbuat daripada buluh itu.

"Tahun berikutnya saya menerima 500 unit tempahan dan tahun ini mencecah lebih 1,000 unit yang setiap satunya dijual dengan harga serendah RM13.

"Kini saya tidak lagi menggunakan tin minuman dan kain seluar jeans sebagai sumbu, malah saya beralih kepada zink aluminium dan kain cotton yang siap dipasang untuk dijadikan sumbu," katanya.

Menurutnya, setiap pelita mempunyai dua ruas buluh dengan enam sumbu dan dua lubang untuk mengisi minyak selain disertakan dua kaki yang turut diperbuat daripada buluh.

Katanya, bagi mengelak pelita berkenaan rosak dia mengambil inisiatif dengan menghantar sendiri pelita kepada pelanggan selain mengirim kepada kenalan untuk dihantar kepada ejen yang tinggal di luar negeri itu.

Mohamad Azmizan, ejen memainkan peranan dengan menjual pelita berkenaan di seluruh negara dan sepanjang Ramadan dia tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

"Sepanjang sebulan bulan Ramadan saya tidak memandu treler dan masa hanya dihabiskan dengan membuat pelita.

"Sebelum ini, saya perlu mencari sendiri buluh namun sekarang ia diperoleh daripada penduduk setempat yang datang menjualnya kepada saya.

"Bagi saya pelanggan bukan sekadar membeli pelita buluh, namun mereka membeli suasana kerana satu ketika dahulu pelita yang dipasang di pekarangan rumah hanya diperbuat daripada buluh," katanya.

Justeru, dia tidak hairan setiap tahun akan berlaku pertambahan permintaan bagi mendapatkan pelita buluh yang dilihat lebih tahan berbanding pelita moden yang diperbuat daripada plastik.

Menurutnya, pelita buluh juga mampu mengamit nostalgia kerana ia menjurus kepada kaedah tradisional yang sering digunakan masyarakat terdahulu.

Katanya, penggunaan sumbu yang diperbuat daripada kain seluar jeans dilihat lebih efektif kerana kurang menghasilkan jelaga namun ia tidak efisien untuk dikomersialkan kerana perlu membeli seluar untuk dijadikan sumbu.

Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 39, menunjukkan pelita buluh yang dihasilkannya. FOTO NAZDY HARUN
Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 39, menunjukkan pelita buluh yang dihasilkannya. FOTO NAZDY HARUN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 12:43 PM