HASAN menunjukkan senarai ketika Pengumuman Penentuan Harga Maksimum barangan harga terkawal SKHMP Hari Raya Puasa 2015. Turut hadir, Bashah (dua dari kiri) dan Alias Ahmad (kiri).
HASAN menunjukkan senarai ketika Pengumuman Penentuan Harga Maksimum barangan harga terkawal SKHMP Hari Raya Puasa 2015. Turut hadir, Bashah (dua dari kiri) dan Alias Ahmad (kiri).
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Empat jenis barangan termasuk kubis bulat import, kelapa biji, ikan selayang dan ikan aya atau tongkol adalah barangan terbaru yang disenaraikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2015 bermula 7 hingga 23 Julai ini.

Menteri KPDNKK Datuk Seri Hasan Malek berkata, tahun ini kementerian menyenaraikan harga maksimum bagi 21 barangan harga terkawal untuk Aidilfitri berbanding 17 barangan bagi skim sama tahun lalu.

Beliau berkata, kawalan harga kubis bulat hanya yang bagi diimport dari Indonesia dan China, tidak termasuk dari Beijing manakala kelapa biji pula hanya dikawal di peringkat belian borong.

“Kawalan harga bagi ikan selayang pula hanya membabitkan berat antara tujuh hingga 10 ekor bagi setiap kilogram.

“Dalam pada itu, ikan aya atau tongkol pula hanya dikawal di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad.

Katanya, senarai lain barangan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, daging lembu tempatan, daging lembu import (Sarawak sahaja), daging kerbau import, cili merah, tomato, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang putih, bawang besar import, ubi kentang import dan ikan kembung.

Hasan berkata, pelaksanaan skim kawalan harga itu di buat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 supaya pengguna dapat memperoleh barangan perlu musim perayaan pada harga berpatutan.

Beliau juga meminta peniaga mematuhi skim kawalan harga ditetapkan termasuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga kawalan bagi membezakannya dengan barangan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:08 AM