KPDNKK melakukan pemantauan bagi menyekat kenaikan harga 19 jenis barangan sempena perayaan Aidilfitri. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
KPDNKK melakukan pemantauan bagi menyekat kenaikan harga 19 jenis barangan sempena perayaan Aidilfitri. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Nadzreen Shah Mat Salim


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) akan memantau secara berkala bagi menyekat kenaikan harga 19 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) yang bermula 16 Jun lalu.

Pengarahnya, Ummi Nasrah Othman berkata, sepanjang hari ini lima pasar awam, sembilan supermarket dan hypermarket diperiksa.

"KPDNKK akan melakukan pemeriksaan di semua premis perniagaan di ibu negara mulai 16 Jun hingga 6 Julai bagi memastikan harga jualan 19 barangan terkawal dipatuhi.

"Sebanyak 156 kenyataan amaran dikeluarkan terhadap peniaga yang tidak patuh kepada Perintah Kawalan Harga dan Antipecatutan (Penentuan Harga Maksimum), (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) 2016 dan Perintah Harga Kawalan (Penanda Harga Oleh Penjual Runcit) 1993," katanya kepada wartawan selepas melakukan pemeriksaan di Pasar Sungai Besi di sini.

Menurutnya, 19 barangan kawalan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C, daging lembu tempatan, daging kerbau import, cili merah, tomato, kubis bulat import, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang putih, bawang besar import, ubi kentang import, ikan kembung, ikan mambung dan ikan selayang dikategorikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 1:01 PM