KUALA LUMPUR 05 DISEMBER 2014. Tinjauan harga barang di Pasar Chow Kit. NSTP/ Muhd Asyraf Sawal
KUALA LUMPUR 05 DISEMBER 2014. Tinjauan harga barang di Pasar Chow Kit. NSTP/ Muhd Asyraf Sawal


Sungai Besar: KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata kawalan itu akan berkuat kuasa 16 Jun hingga 6 Julai ini iaitu 21 hari berbanding 17 hari pada tahun lalu.

“Skim ini akan berkuat kuasa selama 20 hari sebelum hari raya, dan satu hari pada hari raya.

“Harga maksimum ditentukan bagi 21 barangan harga terkawal di 149 daerah atau kawasan termasuk di Sarawak dan Sabah dan diharapkan pengumuman awal ini membolehkan peniaga bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program pengumuman senarai skim kawalan harga musim perayaan di pasar raya, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Hamzah berkata KPDNKK melalui 2,300 penguatkuasanya di seluruh negara akan melaksanakan pemantauan lebih agresif kali ini bagi memastikan rakyat dapat menyambut Aidilfitri dengan selesa.

“Kita juga telah menubuhkan ‘Friend of KPDNKK’ yang dianggotai orang awam sebagai ‘mata-mata’ membantu penguatkuasa kita membuat pemantauan di premis perniagaan,” katanya.

Beliau berkata skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan denda RM100,000 dan penjara atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.

Katanya, bagi syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan pula akan dikenakan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pula bakal berdepan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu atau maksimum RM20,000 atau kompaun RM10,000 bagi syarikat,” katanya.

Pengguna boleh membuat semakan di laman web KPDNKK di http://www.kpdnkk.gov.my.

1. Ayam hidup

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4. Telur ayam gred A

5. Telur ayam gred B

6. Telur ayam gred C

7. Daging lembu tempatan (tidak dikawal di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan)

8. Daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja)

9. Daging kerbau import (India) (tidak dikawal di Sarawak)

10. Cili merah

11. Tomato

12. Kubis bulat import (Indonesia dan China kecuali kubis Beijing)

13. Kelapa biji (dikawal peringkat borong sahaja)

14. Kelapa parut (dikawal peringkat runcit sahaja)

15. Bawang merah kecil (India)

16. Bawang putih (China)

17. Bawang besar import

18. Ubi kentang import (China)

19. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

20. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)

21. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) (dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 7:14 PM