Norlina (dua dari kiri ) memangku Nurfarhana   ketika  menerima kunjungan sukarelawan Homehelp JKM Kuala Selangor.
Norlina (dua dari kiri ) memangku Nurfarhana ketika menerima kunjungan sukarelawan Homehelp JKM Kuala Selangor.

Kuala Selangor: Sepasang adik beradik kini ‘berperang’ dengan penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

Lebih membimbangkan penyakit sama bakal meragut nyawa mereka seperti mana berlaku terhadap dua adik beradik pasangan itu beberapa tahun lalu.

Tekanan itu dirasai Norlina Mohd Shafie, 32, dan adiknya Khairul Mohd Shafie, 20, yang kini menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Klang.

Ibu mereka, Jamaliah Rahamat, 47, berkata, dia hanya bekerja mengambil upah membantu menjual sarapan di gerai berhampiran untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Anak perempuan saya berusia 13 tahun meninggal dunia 12 tahun yang lalu manakala seorang lagi anak perempuan saya berusia 27 tahun turut meninggal dunia akibat masalah penyakit buah pinggang.

“Suami saya, Shafiee Othman, 55 ,tidak dapat bekerja kerana lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu” katanya sedih.

Menurutnya, bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu meringankan beban termasuk menanggung perbelanjaan perubatan anak.

Dia bagaimanapun bimbang dua anaknya turut akan ‘meninggalkannya’ akibat penyakit itu.

“Saya berharap dua anak saya itu pulih seperti sebelum ini. Hati ibu mana yang tidak bimbang apabila memikirkan penderitaan dialami anak kandung,” katanya.

Sementara itu, Norlina berkata, dia hanya bergantung kepada upah suaminya yang bekerja kontrak untuk menanggung mereka anak beranak memandangkan seorang anaknya masih bersekolah.

Katanya, sumber kewangan yang terhad juga menyebabkan dia berjimat untuk anak perempuannya Nurfarhana Khairudin, 12, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan Nurfazilah Khairudin, 11, yang masih bersekolah.

“Memang upah diterima suami kadang-kadang tak menentu sebab bergantung kepada kerja.

“Jika ada orang nak bantu kami, saya cukup terharu. Hanya Allah SWT saja dapat membalas jasa mereka,” katanya yang menjalani rawatan dialisis di Kapar tiga hari seminggu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan terus ke akaun Bank Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 1012841000002321 atas nama Jamaliah Rahamat atau terus berkunjung ke rumah di Jalan Kemuning, Kampung Bukit Kuching di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:02 AM