Mangsa banjir meredah takungan air banjir di pintu masuk pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang hari ini. FOTO BERNAMA
Mangsa banjir meredah takungan air banjir di pintu masuk pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: "Saya hanya mampu menyelamatkan kuda-kuda saya pada petang Ahad lalu selepas dua hari haiwan itu 'berendam' dalam air," kata pemilik De Dengkil Stable & Arabian Stud Farm Khairudin Abdul Rahman.

Bercakap kepada Bernama, banjir luar biasa yang melanda beberapa kawasan di Sepang pada hujung minggu lalu turut menjejaskan kandang kudanya berkeluasan 0.4 hektar.

Khairudin, 60, bekas juruteknik pertanian yang mengusahakan kandang kuda di Kampung Sri Tanjung, Dengkil dekat sini sejak 2007 berkata, sebelum ini, kawasan itu pernah dilanda banjir tetapi tidak seteruk kali ini sehingga mengakibatkan beliau kerugian hampir RM50,000.

"Paras air naik sedikit demi sedikit hingga tiga meter pada Ahad dan 12 ekor kuda yang kami bela sempat ditempatkan dalam treler yang dapat memuatkan sembilan ekor manakala lima lagi, termasuk seekor anak kuda betina berusia seminggu, dalam 'horsefloat' sebagai perlindungan sementara," katanya hari ini.

Tidak ketinggalan, Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menghulurkan bantuan pada Ahad bagi memindahkan kuda ke daratan menggunakan bot dan sebagainya, katanya.

Menurut Khairudin, ketika ini, tujuh ekor kuda sudah dibawa ke kandang kuda rakannya di Bandar Si Sendayan, Negeri Sembilan manakala lima lagi 'ditumpangkan' sementara di sebuah kandang kambing di Dengkil.

Beliau berkata, dua ekor kudanya mengalami kecederaan serius pada kaki dan kini menerima rawatan veterinar.

Selain itu, Khairudin berkata, banjir turut memusnahkan makanan kudanya iaitu jerami kering dan satu tan 'horse pallet' yang baru dibeli.

"Saya reda dan perlu menerima hakikat bahawa kandang kuda saya telah musnah. Saya rasa enam bulan diperlukan untuk pulih," katanya.

Bentuk perniagaan yang dijalankan De Dengkil Stable & Arabian Stud Farm menjurus kepada sektor komersial iaitu kuda berkenaan digunakan bagi rakaman iklan dan sewaan kereta kuda bagi majlis.

Katanya, antara baka yang dibela ialah kuda padi dan jenis Appaloosa selain ada kuda berwarna kelabu.

"Anak perempuan saya kini melakukan terapi menggunakan kuda bagi kanak-kanak autisme secara kecil-kecilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:10 PM