Pemandangan Putrajaya yang dirakam dari Skyrides Balloon.
Pemandangan Putrajaya yang dirakam dari Skyrides Balloon.
Pengunjung melihat Skyrides Balloon di Skyrides Festivals Park Putrajaya, Presint 2 Putrajaya.
Pengunjung melihat Skyrides Balloon di Skyrides Festivals Park Putrajaya, Presint 2 Putrajaya.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Takut tapi seronok. Itu maklum balas kebanyakan pengunjung yang cuba menikmati pemandangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, selama 15 minit dari ketinggian 150 meter dengan menaiki Skyrides Balloon.

Belon helium bertambat pertama dan terbesar di Malaysia itu beroperasi secara rasmi bermula kelmarin di Skyrides Festival Park Putrajaya bersebelahan Monumen Alaf Baru sekali gus menjadi satu lagi tarikan orang ramai ke Putrajaya.

Pengunjung, Aishah Ismail, 27, berkata, dia tidak ketinggalan menaiki belon berkenaan bersama suami dan anaknya.

“Kami dari Teluk Intan, Perak dan datang menziarahi kakak. Niat asal mahu mencuba menaiki bot dan kebetulan ternampak belon ini.

“Mulanya agak takut namun selepas naik, perasaan itu hilang. Sampai saja di atas, kami dapat melihat keindahan sekeliling Putrajaya terutama bangunan kerajaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Aishah berkata, dia berpendapat Skyrides Balloon sangat bermanfaat kepada pengunjung khususnya ibu bapa meluangkan masa bersama keluarga pada cuti sekolah dan hujung minggu.

Pengunjung, Michelle Chia, 15, berkata, dia gembira menikmati pemandangan di sekitar Putrajaya sepanjang menaiki belon berkenaan.

“Saya juga takut kerana terasa bergoyang sedikit ketika belon bergerak secara perlahan ke atas. Namun, perasaan itu hilang selepas melihat keindahan pemandangan.

“Terasa tidak puas dan mahu naik sekali lagi. Saya berharap dapat datang ke Putrajaya menaiki belon ini lagi,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melancarkan taman tema berorientasikan keluarga, Skyrides Festival Park Putrajaya, Rabu lalu.

Taman tema itu sekali gus menjadi penyumbang terbaru negara bagi mencapai sasaran 29.4 juta ketibaan pelancong seperti ditetapkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada tahun ini.

Selain Skyrides Ballon, pengunjung berpeluang mencuba halangan cabaran rekreasi dan ekstrem di taman berkenaan antaranya, SkyWarrior Rainforest Chalengge, SkyGallery dan Skydemo termasuk Skystage, Skytaste dan SkyCruise.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 8:25 AM