FIESTA Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya dijangka mendapat sambutan meriah.
FIESTA Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya dijangka mendapat sambutan meriah.

Putrajaya: Kira-kira 500,000 pengunjung dijangka membanjiri Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya kali ke-8 (PIHABF) yang akan diadakan pada 11 hingga 13 Mac ini di Monument Alaf Baru, Presint 2, di sini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Hasim Ismail berkata, fiesta kali ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai aktiviti dan tarikan baru termasuk ‘Skyride Festival Park’ yang akan memberi kepuasan kepada pengunjung.

“Pelbagai aspek dan penambahbaikan dilaksanakan pada penganjuran kali ini, sehingga fiesta ini menjadi acara ikonik bagi Putrajaya, sekali gus mampu menarik pengunjung terutama dari dalam dan luar negara.

“Pengunjung bukan saja dapat menikmati keindahan panorama Putrajaya melalui belon udara panas, malah dapat melawat Putrajaya yang bukan saja Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, malah mampu menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa seperti fiesta ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya kali ke lapan, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi PIHABF Mohammed Sobri Saad berkata, buat kali pertama sebanyak lima belon panas berbentuk khas iaitu Rocket Alien dari Kanada, ‘Mister Z the Zebra’ (Amerika Syarikat), The Happy Lobster (Belgium), Bee Balloon (Brazil) dan ‘La Replica’ (Perancis) dibawa khas ke Putrajaya sempena fiesta ini.

Selain itu, fiesta yang berlangsung selama tiga hari anjuran PPj bersama AKA Balloon Sdn Bhd itu turut menampilkan 15 lagi belon panas yang dikendali juruterbang bertaraf antarabangsa dari lebih 10 negara seperti Belanda, United Kingdom, Korea Selatan, Thailand, Poland dan Sepanyol.

“Selain itu, aktiviti sampingan seperti yoga dan zumba turut disediakan kepada pengunjung ke fiesta berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 6:19 AM