BERLARI melalui pelbagai halangan, memerlukan kekuatan tenaga fizikal.
BERLARI melalui pelbagai halangan, memerlukan kekuatan tenaga fizikal.
ROMBONGAN media di hadapan Skyrider Festival Park.
ROMBONGAN media di hadapan Skyrider Festival Park.
LOKASI SkyWarrior Rainforest Challenge menampilkan binaan pelbagai halangan di atas air.
LOKASI SkyWarrior Rainforest Challenge menampilkan binaan pelbagai halangan di atas air.
Teks dan gambar Ida Liyana


Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan turut menjadi tumpuan pelancong kerana ia mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi malah landskap, seni bina dan alam semula jadi nyata memukau.

Sama ada menggunakan kenderaan sendiri, berjalan kaki, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam, panorama yang disajikan tidak jemu mata memandang. Begitu juga perjalanan menggunakan cruise di sekitar tasik,

pengalaman juga berbeza.

Kini, Putrajaya memiliki satu lagi destinasi menarik untuk dikunjungi iaitu SkyRides Balloon di SkyRides Festival Park (SPF). Taman tema baru yang berwarna-warni itu terletak di Presint 2, di kawasan Monumen Alaf Baru Putrajaya.

Berada dalam gondola belon jenis berikat di atas air yang pertama dan terbesar dengan ketinggian 120 meter di udara, pastinya menawarkan pengalaman mengujakan. Anda dapat melihat pemandangan panorama 360 darjah dari gondola. Di sebelah malam, keindahannya lebih cantik dengan suasana bandar yang indah bercahaya.

Belon udara itu selamat untuk dinaiki kerana sentiasa terikat pada kabel besar dan kukuh walaupun ke paras ketinggian maksimum. Ia boleh memuatkan sehingga 30 penumpang pada satu masa.

Penulis mendapat peluang mencuba SkyRides Balloon bersama peserta program Eat.Travel.Write anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia, baru-baru ini.

Kumpulan pertama naik dalam keadaan stabil, namun dengan tiupan angin yang kuat, ia melambatkan sikit pendaratan belon pada tempatnya.

Sewaktu naik, penumpang diminta berpaut pada rel dan tidak bergerak sewaktu belon mula bergerak, cuma apabila di atas, kami dibenarkan merakamkan gambar panorama sekitar.

Di bawah, sayup kelihatan air tasik yang luas saujana mata memandang, berwarna biru ditaburi bangunan di sekelilingnya. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan dari udara.

SkyRides Balloon satu daripada lapan kegiatan yang disediakan di SPF. Anda boleh terapung sehingga 100 meter dari paras tanah, ia adalah belon helium terbesar seumpamanya di Malaysia.

Dari atas gondola itu juga, anda boleh melihat kawasan Kompleks Pentadbiran Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, Masjid Terapung, lima jambatan ikonik yang menghubungkan ‘pulau’ dengan ‘tanah besar’ dan Menara Milenium.

Dibina pasukan terkenal di dunia yang memenangi anugerah, Per Linstrand, SkyRides Balloon adalah satu daripada 50 belon yang besar di dunia dan kali pertama didatangkan di negara ini. Menaikinya menawarkan pemandangan 360 darjah dalam jarak lebih 50 kilometer. Bagi menghayati keindahan pemandangan dari langit Putrajaya, anda boleh mencubanya pada bila-bila masa.

Sebelum itu, kami menonton aktiviti Skyride Warrior Rain Forest Challenge (Skyride Warrior), iaitu sukan berhalangan di atas air. Ia menawarkan pengalaman melalui halangan mencabar dari segi fizikal, iaitu sejenis permainan kegiatan bina semangat. Tersilap langkah, akan terjatuh ke tasik.

Antara halangan terdapat di laluan SkyWarrior dinamakan Cilik Falls iaitu cabaran merentas regangan air, Kinabalu Ferrata, Marudi Crossing, Langkawi Walk, Kinabatangan Swing, cabaran tembok tinggi dan Pahlawan Valley, dengan lompatan berketinggian 5 meter.

Skyrides Festival Park yang dibuka untuk kunjungan dari pagi hingga ke malam, dibahagikan kepada lapan Zon iaitu SkyRides Balloon, Sky Warrior Rain Forest Challenge, SkyDemo, SkyKids, SkyTaste, SkyGallery, SkyCruise dan SkyStage.

Setiap satu daripadanya mengkhusus dengan kegiatan tersendiri. Anda boleh memilih untuk menyertai permainan sesuai dengan peringkat umur. Kemasukan ke SPF adalah percuma, tetapi penyertaan kegiatan tertentu dikenakan bayaran.

Taman tema berkonsepkan kekeluargaan itu dibuka kepada umum Mei lalu oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Pembukaannya bertepatan dengan pelaksanaan program pelancongan, Malaysia Year of Festivals (Myfest) 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:02 AM