Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Belon udara panas menjadi tumpuan utama kepada pengunjung yang hadir pada Karnival Jom Heboh (KJH) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Seorang pengunjung, Nurmaisarah Marzuki, 25, dari Kampung Tepoh, di sini, berkata kehadirannya pada hari kedua KJH untuk menaiki belon udara panas akhirnya membuahkan hasil.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya menyaksikan orang menaiki belon udara itu, tapi kali ini tidak menyangka hajatnya tertunai.

"Ketika saya tiba di KJH petang semalam, saya segera ke tapak untuk menaiki belon udara panas ini, namun kecewa apabila dimaklumkan kaunter pendaftaran sudah ditutup.

"Bagaimanapun, saya tidak berputus asa apabila datang seawal pagi hari ini untuk mencuba nasib sekali lagi dan bersyukur apabila diberi peluang untuk menaikinya," katanya yang ditemui di sini.

PENGUNJUNG teruja menaiki belon udara panas  pada Karnival Jom Heboh. FOTO Ghazali Kori
PENGUNJUNG teruja menaiki belon udara panas pada Karnival Jom Heboh. FOTO Ghazali Kori

Pengunjung lain Mohd Amin Muhammad, 41, dari Jertih, Besut berkata dia antara pengunjung bertuah apabila dapat menaiki belon udara panas itu walaupun dengan hanya beberapa minit di udara.

Menurutnya, kehadirannya ke KJH kali ini memberi seribu kenangan selepas berpeluang menaiki belon udara panas dengan bayaran serendah RM1 seorang.

"Boleh katakan saya antara yang bertuah kerana menjadi orang terakhir berjaya mendaftar diri untuk naik belon udara panas bagi sesi pagi selepas satu jam lebih menunggu giliran.

"Ini kali pertama saya menaikinya dan pada mulanya perasaan berbelah-bahagi, namun saya buang rasa takut selepas isteri, Ainun Masnin Ahmad, 38, dan dua anak beriya-iya mahu mencuba," katanya.

Sementara itu, Pengurus AKA Belon, Euzwan Elyas Khairudin berkata, pihaknya mengenakan bayaran RM1 seorang menggunakan aplikasi DuitNow kepada pengunjung yang mahu menaiki belon udara panas berkenaan.

"Belon udara panas ini mampu menampung berat 240 kilogram dalam satu masa dan kita memberi peluang kepada pengunjung untuk menaikinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 2:58 PM