LIOW menunjukkan sebahagian daripada gambar data permukaan Lautan Hindi terkini daripada pihak Australia bagi mengesan pesawat MH370.
LIOW menunjukkan sebahagian daripada gambar data permukaan Lautan Hindi terkini daripada pihak Australia bagi mengesan pesawat MH370.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Tujuh rekod cubaan komunikasi atau ‘handshake’ dibuat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 adalah maklumat dan bukti terpenting diperoleh bagi mengesan pesawat berkenaan, sekali gus menjadi petunjuk penting kepada kedudukan pesawat itu sebenarnya berakhir di Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, data saintifik, statistik dan Inmarsat yang diperoleh jelas memberi maklumat sebenar serta khusus bahawa Lautan Hindi adalah lokasi terakhir penerbangan itu.

Beliau berkata, tujuh cubaan komunikasi itu amat penting dan ia dijadikan petunjuk kepada operasi pencarian dilakukan kini membabitkan kawasan carian seluas 60,000 kilometer persegi.

“Setiap cubaan komunikasi yang berlaku antara sistem pesawat dan satelit itu menunjukkan bahawa ia data khusus diperoleh daripada pesawat MH370.

“Tujuh cubaan komunikasi itu yang membentuk kedudukan lengkung panjang di selatan Lautan Hindi. Kami sudah membuat pengiraan berdasarkan kelajuan dan bekalan minyak MH370 yang masih berada dalam pesawat itu,” katanya pada sesi khas bersama media sempena setahun kehilangan MH370 di sini, semalam.

Katanya, sekiranya kelajuan pesawat adalah perlahan maka pesawat itu berada di bahagian utara Lautan Hindi dan jika laju, ia berakhir di bahagian selatan iaitu 30 hingga 40 darjah ke selatan lautan.

Liow berkata, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa setakat ini, seluas 26,000 kilometer persegi daripada keseluruhan 60,000 kilometer persegi kawasan carian sudah dilakukan.

Menurutnya, pihaknya bernasib baik kerana pada masa ini, cuaca baik sekali gus melancarkan operasi pencarian.

“Disebabkan itu, kami menggerakkan empat aset bagi melakukan carian dan kami berjaya menyelesaikan satu peratus kawasan sehari,” katanya.

Katanya, beliau juga ingin menjelaskan bahawa usaha pencarian di Lautan Hindi bukan satu perkara mudah kerana ia membabitkan kawasan carian yang luas serta kedalaman laut 6,000 hingga 7,000 meter.

Liow berkata, jika mahu dibandingkan dengan operasi mencari pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia yang terhempas di perairan Selat Karimata, kedalaman laut hanya sekitar 45 meter, namun pasukan mencari berdepan pelbagai kesukaran, malah tidak semua badan pesawat dapat dinaikkan lagi.

Sebelum ini, terdapat dua teori tersebar mengenai kedudukan sebenar pesawat MH370 dengan ada yang mengatakan ia berakhir di Antartika dan ada yang mengaitkan bahawa pesawat itu didaratkan di Kazakhstan.

Pada sesi media lain, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman ketika menjelaskan mengenai dakwaan dan teori palsu berkenaan berkata, semua pihak perlu memahami bahawa data diterima itu dianalisis pakar, malah ia menjadi permulaan kepada proses analisa data untuk mengesan kedudukan pesawat berkenaan berakhir.

Katanya, analisis data itu bukan hanya dilakukan pakar data Inmarsat di London sebaliknya turut dianalisa Lembaga Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat Keselamatan (NTSB), Boeing, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan DCA sendiri.

Azharuddin berkata, semua pakar data yang menganalisa data Inmarsat dan ‘handshake’ itu bersetuju pesawat MH370 yang dicari itu berada di lokasi carian berkenaan.

Menurutnya, pihaknya ingin mengesahkan tiada kemungkinan data berkenaan boleh dipalsukan seperti didakwa beberapa pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:46 AM