Sydney: Operasi mencari pesawat MH370 yang ‘ghaib’ dijangka selesai menjelang Mei ini,” kata jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai operasi pencarian pesawat itu di Lautan Hindi.

Memetik laporan www.express.co.uk, meskipun tiada bukti ditemui berhubung pencarian pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac tahun lalu namun ATSB komited meneruskan pencarian.

“Sehingga kini, 60 peratus kawasan pencarian di Lautan Hindi diterokai.

“Melihat pada tugas pencarian itu kini, operasi berkenaan dijangka selesai bulan depan,” katanya.

Menurutnya, Australia membelanjakan £15 juta (RM80.59 juta) dalam fasa pencarian terkini di dasar laut dengan menggunakan kelengkapan sonar mengimbas dasar lautan Hindi selama tujuh bulan.

Katanya, secara keseluruhan, pasukan pencari menggunakan 13 bulan untuk melakukan pencarian di kawasan berkenaan.

“Menteri dari China, Australia dan Malaysia juga dijangka mengadakan pertemuan pada hujung bulan ini di Kuala Lumpur untuk membincangkan sama ada operasi pencarian itu perlu dilanjutkan selepas tamat fasa terkini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:45 AM